PASUKAN kebangsaan Perancis tidak sabar-sabar untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunianya. Les Bleus tidak akan teragak-agak untuk meranapkan impian Lionel Messi untuk memenangi gelaran Piala Dunia.
Perlawanan akhir Piala Dunia 2022 akan berlangsung di Stadium Lusail, malam ini.
Argentina membawa misi memenangi kejuaraan selepas kali terakhir melakukannya pada 1986. Sementara itu, Perancis mahu mendaftarkan namanya sebagai pasukan pertama yang mencium trofi Piala Dunia berturut-turut sejak Brazil melakukannya enam dekad lalu.
Ramai yang memilih Argentina untuk memenangi gelaran kali ini. Piala Dunia 2022 akan menjadi peluang terakhir Lionel Messi menjulang gelaran bola sepak dunia tertinggi sepanjang kariernya.
Messi malah menjadi tulang belakang Argentina dalam perjalanan ke final Piala Dunia 2022. Bintang berusia 35 tahun itu telah mengumpul lima gol dan bersaing dalam senarai penjaring terbanyak bersama Kylian Mbappe.
It all comes down to this 😤 #FIFAWorldCup #Qatar2022
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) December 17, 2022
Jurulatih pasukan kebangsaan Perancis, Didier Deschamps, tidak menolak rasa euforia orang ramai yang mahukan Messi bergelar juara. Namun begitu, dia bersedia untuk mematahkan harapan ini dengan membawa Les Bleus ke tangga kejuaraan.
“Sudah tentu, matlamat utama adalah untuk keluar sebagai pemenang. Saya faham bahawa Argentina dan ramai orang di seluruh dunia, dan mungkin beberapa orang Perancis juga, berharap Lionel Messi memenangi Piala Dunia, tetapi kami akan melakukan segala-galanya untuk mencapai matlamat kami,” kata Deschamps dipetik dari BBC.
Argentina dan Perancis telah memenangi dua gelaran Piala Dunia. Siapa yang akan menambah bintang juara pada logo pasukan? Sama-sama kita tunggu perlawanan malam ini.