SURAT rayuan akan dikemukakan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk memastikan dua atletnya, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG).
Perkara itu disuarakan Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat selepas Aniq berjaya memenangi pingat gangsa acara clean & jerk bagi kategori 61 kilogram di Kejohanan Angkat Berat Dunia yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, malam tadi (Rabu).
Ayub berkata, Aniq berpotensi untuk menyumbang pingat buat Malaysia di pentas antarabangsa.
“Kami berharap agar menteri (Hannah) dapat memberikan perhatian kepada sukan angkat berat ini yang berpotensi mendapat pingat di peringkat antarabangsa,” katanya.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berharap Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Aznil Bidin dimasukkan ke dalam RTG.
Aniq, 21, meraih gangsa selepas melakukan angkatan 166kg.
Lebih manis, dia yang melakukan angkatan 125kg bagi acara snatch berjaya mencatat keseluruhan 291kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 61kg.
Ini adakah kali kedua Aniq memenangi pingat di Kejohanan Dunia selepas meraih perak dalam acara clean&jerk dalam kategori 55kg pada edisi 2021 yang berlangsung di Uzbekistan.
Kejayaan meraih gangsa di Riyadh meletakkan atlet berasa dari Johor itu di landasan tepat bagi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menghuni kedudukan ranking kesembilan keseluruhan selepas tiga kejohanan – Kejohanan Angkat Berat Asia di Jinju, Korea dan Kejohanan IWF Grandprix di Havana Cuba dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi (Kejohanan Wajib Kelayakan ke Olimpik).
Hanya 10 atlet terbaik setiap kategori (hanya satu atlet satu negara) Olimpik layak secara automatik untuk ke Sukan Olimpik 2024 Paris.
Sementara itu, Aznil yang mencatat keseluruhan angkatan 290kg selepas mencatat 129kg bagi snatch dan 161kg clean&jerk di Riyadh ketika ini berada di kedudukan ranking ke-11 kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.
Mengulas lanjut, Ayub, berkata badan induk itu merancang untuk mengadakan latihan di luar negara buat Aniq dan Aznil sebagai persiapan menghadapi baki tiga kali kejohanan kelayakan ke Paris.