SKUAD Malaysian University FT (MUFT) mempamerkan aksi sehabis daya namun perbezaan kualiti jelas menjadi punca utama mereka dibelasah 8-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi suku akhir kedua Piala FA 2024-25 pada Jumaat.

Pengendali MUFT, Ridzuan Abu Shah mengakui pemainnya berjaya mendapat pengalaman yang cukup berharga meskipun tewas dengan aggregat 13-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu.

“Dapat dilihat dengan jelas tahap kami dan mereka sangat berbeza dengan kami dibarisi pemain muda dan pelajar universiti manakala JDT menurunkan hampir kesemua pemain utama.

Ridzuan bangga anak-anak buahnya dapat bawa pulang pengalaman berguna dari Iskandar Puteri

“Percaturan kami untuk mencari gol itu tetap ada dan kami berusaha dengan sebaik mungkin tetapi realitinya pasukan kami tidak sampai ke tahap Liga Super namun kami mempelajari banyak perkara dari perlawanan ini.

“Perbezaan kualiti pada pemain import dalam perlawanan ini cukup ketara seperti Bergson yang menyebabkan tiga pemain kami terpaksa mengawal namun pemain berusaha sehabis daya dan bagi saya ini akan tingkatkan moral pemain kerana mereka tahu tahap mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ridzuan juga menegaskan bahawa para pemainnya tidak ada apa yang perlu dibimbangkan terutama dari penyokong dan netizen kerana mereka memperolehi pengalaman yang cukup baik dari dua perlawanan ini.

Perbezaan kualiti jelas jadi pemisah MUFT dan JDT

“Kami sudah menjangkakan JDT akan menurunkan skuad terbaik dan perkara ini normal buat mana-mana jurulatih namun pada saya perkara ini bagus buat pemain-pemain saya kerana ini adalah pengalaman yang terbaik buat mereka untuk berhadapan dengan pasukan yang baik dari pelbagai segi,” jelasnya.

MUFT kini akan kembali menumpukan perhatian kepada kempen Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship dalam misi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti dari universiti-universiti tempatan.