PEMAIN pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mengakui magnitud besar pertemuan dua pasukan terbaik Asia Tenggara dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa menjadi motivasi buat dirinya dan rakan-rakan sepasukan.
JDT bakal membuat perhitungan dengan juara Liga Thailand, Buriram United dalam aksi yang menyaksikan kedua-dua pasukan mahu mencipta kemenangan bagi memastikan peluang layak ke peringkat seterusnya semakin terbuka.
Jordi juga menjelaskan bahawa pemain JDT masih merasakan mereka seharusnya membawa pulang mata dari China dan perlawanan di tempat sendiri akan digunakan untuk melupakan kekecewaan itu.
“Ini adalah satu perlawanan yang sangat penting dengan kedua-dua pasukan yang kini dengan tujuh mata dan ini adalah perlawanan antara pasukan terbaik di Thailand dan Malaysia yang membuatkan kami tidak sabar bermain di depan penyokong sendiri.
“Di bilik persalinan, kami rasakan kami sepatutnya pulang dengan mata dari China tetapi itulah bola sepak dan kini kami mahu mendapatkan tiga mata di tempat sendiri kerana kami mempunyai rekod yang baik di sini di hadapan penyokong sendiri.
“Ianya adalah motivasi tambahan buat kami untuk beraksi dalam perlawanan ini. Buriram adalah pasukan yang baik dan kami perlu fokus dan bermain sebagai satu pasukan dan ianya pasti satu perlawanan yang baik buat para penyokong,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Pemain antarabangsa Indonesia itu juga gembira dengan perseteruan dia gergasi Asia Tenggara ini dan menganggap ianya ibarat aksi final selain sudah mengenali beberapa pemain dari pasukan lawan dan begitu juga sebaliknya.
“Saya pernah bermain dengan beberapa pemain mereka ketika bersama pasukan kebangsaan dan ada juga pemain mereka yang bermain dengan skuad kebangsaan Malaysia. Ianya ibarat final kerana kedua-dua pasukan mahukan mata tambahan dan kami sentiasa mahu menang dengan semua pemain sudah bersedia serta tidak sabar untuk memulakan perlawanan esok,” jelasnya.
JDT dan Buriram sama-sama terikat dengan tujuh mata selepas berakhir lima perlawanan peringkat liga namun Harimau Selatan ditangga kelima hasil kelebihan jaringan yang lebih besar berbanding Buriram di tangga kesembilan.