BEKAS juara memanah para dunia, S. Suresh menyifatkan bahawa dirinya mampu menepis cabaran beraksi di cuaca panas yang diramal sepanjang temasya Sukan Paralimpik 2024.

Oleh itu, Suresh menyasarkan pingat emas bagi menebus kekecewaan Paralimpik edisi Tokyo 2020 lalu sekali gus berharap agar cuaca panas berkenaan tidak menjadi penghalang untuk merealisasikan sasarannya.

“Saya menonton berita bahawa di Perancis ketika ini agak panas, jadi saya harap boleh tahan dan cuaca ini akan bantu saya.

“Kali ini saya rasa boleh pergi jauh untuk dapatkan pingat, kalau ada rezeki boleh bawa emas,” kata Suresh kepada pemberita.

Suresh sasar pingat emas untuk acara yang disertainya.

Suresh tekad untuk kembali bangkit selepas tersingkir awal di Paralimpik Tokyo 2020, sekali gus menampilkan keyakinan tinggi untuk menggalas cabaran di Paris dengan melakukan panahan yang lebih tepat untuk membawanya ke podium acara berprestij itu.

Bagaimanapun, pemanah berusia 31 tahun itu mengakui bahawa kesemua pencabarnya kali ini, termasuk dari tuan rumah Perancis, Thailand, Indonesia, dan India memiliki peluang yang sama rata untuk memburu pingat di Esplanade des Invalides.

“Jika dahulu, kita boleh ramal negara mana yang bahaya, namun kali ini rata-rata hampir semua kuat, termasuk India yang sedang memuncak. Peluang agak sama rata, hanya atlet yang mempunyai ketahanan mental serta dapat kawal perasaan mampu mara lebih jauh,” tambahnya.