GANDINGAN beregu campuran baharu, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, meraih gelaran pertama hanya selepas menyertai dua kejohanan, apabila meraih kejuaraan di Cabaran Antarabangsa (IC) Malaysia yang berlangsung di Ipoh, Perak.

Pasangan yang digandingkan bulan lalu itu, mempamerkan aksi memberangsangkan di pentas final ketika menewaskan Lin Yu Chieh-Hsu Yin Hui dari Taiwan,  21-17, 21-19.

Kejuaraan diraih mereka itu bukan sahaja memberi petanda baik buat skuad beregu campuran, malah menyelamatkan maruah Malaysia sebagai tuan rumah, apabila kemenangan mereka menjadi satu-satunya wakil negara yang meraih gelaran biarpun mempunyai empat wakil di final.

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin raih gelaran antarabangsa pertama di Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak.

Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mula menghantar mereka menyertai kejohanan antarabangsa pertama di Masters Korea 7 hingga 12 November lalu, namun mereka hanya melangkah ke pusingan kedua selepas tewas kepada gandingan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Begitupun, di kejohanan pertama mereka itu, Pang Ron-Su Yin berjaya mengejutkan pasangan Korea Selatan, Wang Chan-Shin Seung Chan di pusingan pertama.

Ng Qi Xuan-Yap Yee terlepas peluang meraih gelaran kejohanan peringkat senior. |FOTO BAM

Berdasarkan perancangan Nova, Pang Ron-Su Yin akan menyertai dua lagi kejohanan tahun ini, iaitu Kejohanan Antarabangsa Syed Modi, India (Super 300) dan Masters Guwahati, India (Super 100), pada Disember.

Dalam pada itu, hasrat melihat pemain lain untuk meraih kejuaraan berkecai.

Beregu wanita negara, Ng Qi Xuan-Yap Yee tewas kepada Lin Chih Chun-Sung Yu Hsuan dari Taiwan 11-21, 18-21.

Wong Ling Ching gagal menepati status pilihan di final Cabaran Antarabangsa Malaysia. |FOTO BAM

Gandingan Mohamad Fazriq Mohamad Razif-Wong Vin Sean memberikan persembahan mantap tapi tidak cukup untuk meraih kejuaraan.|FOTO BAM

Perseorangan wanita, Wong Ling Ching yang diletakkan selaku pilihan keempat pula, tewas di tangan pemain kelayakan dari Jepun, Miho Kayama 21-23, 16-21.

Manakala Mohamad Fazriq Mohamad Razif-Wong Vin Sean yang beraksi di final beregu lelaku, tewas kepada gandingan Jepun, Takuto Inoue-Masayuki Onodera 16-21, 21-18, 15-21.