PASUKAN hoki indoor lelaki Malaysia mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya melayakkan diri ke FIH Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Croatia.
Kejayaan ini merupakan kali pertama pasukan negara mendapat tempat dalam kejohanan dunia tersebut, yang hanya menyenaraikan 12 pasukan terbaik dunia untuk kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 9 Februari 2025.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mengucapkan tahniah kepada pasukan atas pencapaian bersejarah dan menyifatkan kelayakan ini sebagai bukti usaha gigih pemain meskipun berdepan pelbagai kekangan.
“Dengan segala kekangan dan kekurangan, pasukan ini berjaya membuktikan sesuatu yang mustahil. Bagi saya, ini adalah permulaan yang baik untuk memastikan Malaysia layak ke setiap Piala Dunia selepas ini,” ujarnya dalam sidang media pada Sabtu.
Sebagai persediaan ke Piala Dunia, pasukan akan menjalani latihan intensif di Vienna, Austria dari 20 hingga 29 Januari 2025, termasuk beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab hoki tempatan.
Menurut Subahan, perlawanan ini adalah sebahagian daripada strategi memperkuatkan teknikal pasukan sebelum ke Croatia.

Jersi baru diperagakan ketua pasukan Najmi Farizal.
Beliau turut menekankan bahawa pemain-pemain ini membawa tanggungjawab besar bukan hanya sebagai atlet tetapi juga sebagai duta Malaysia. Pasukan ini akan mempromosikan kempen Visit Malaysia 2026 di pentas antarabangsa atas sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia.
“Mereka bukan sahaja mewakili negara di Piala Dunia, tetapi juga menjadi duta untuk mempromosikan Malaysia. Ini satu penghormatan besar buat kita semua,” tambahnya.
Pasukan hoki indoor lelaki kini memikul harapan besar untuk memperbaiki kedudukan Asia setelah menjadi naib juara di Kejuaraan Hoki Indoor Asia 2023, tewas di tangan Iran. Fokus kini adalah untuk mengatasi cabaran teknikal dan menutup jurang prestasi, terutama menjelang Sukan SEA 2025, di mana emas adalah sasaran utama.
Subahan turut menyuarakan harapan untuk melihat kemudahan khas untuk latihan hoki indoor seperti stadium khusus, yang dapat memperkukuhkan pembangunan sukan ini di Malaysia.
Pasukan negara dijangka memanfaatkan Stadium Putra di Kompleks Sukan Bukit Jalil untuk sesi latihan selepas pulang dari Eropah.
Kejayaan pasukan tidak terlepas daripada sumbangan pihak penaja seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Belia dan Sukan. Sokongan turut datang daripada Kementerian Pelancongan Malaysia dan jenama pakaian sukan Mizuno, yang kini menjadi penaja jersi rasmi pasukan kebangsaan.
Subahan juga menghargai kerjasama Maybank, yang memberi kelonggaran kepada pemain-pemain mereka untuk mewakili negara tanpa menjejaskan komitmen pekerjaan.
“Kami amat berterima kasih kepada semua penaja, khususnya TNB, KBS, dan Maybank. Tanpa mereka, pencapaian ini mungkin sukar dicapai,” katanya.
Kejayaan pasukan hoki indoor lelaki Malaysia melayakkan diri ke Piala Dunia 2025 adalah simbolik kepada potensi sukan ini di peringkat global.
Selain membawa harapan rakyat Malaysia, mereka juga dijangka menjadi contoh kepada generasi atlet akan datang dalam memartabatkan sukan hoki indoor. Dengan sokongan padu dan perancangan rapi, Malaysia berharap untuk terus mengukir nama di persada antarabangsa.