PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao perlu segera mengembalikan keyakinan diri selepas tersingkir di pusingan kedua kejohanan Badminton Terbuka India, Khamis lalu.
Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Kenneth Jonassen berkata, Jun Hao memiliki potensi besar untuk menyinar berdasarkan perkembangan prestasi ditunjukkannya biarpun terkandas di pusingan awal Terbuka Malaysia dan Terbuka India itu.
Jun Hao berada di ranking ke-28 dunia, tersingkir di pusingan kedua Terbuka India, selepas tunduk kepada pemain China, Weng Hong Yang 18-21, 12-21 selain terkeluar seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia di tangan Lu Guang Zu (China), 17-21, 21-16, 13-21, minggu lalu.
Selepas melihat kekalahan itu, Jonassen yang hanya mula bertugas 4 Januari lalu, melihat potensi yang ada pada Jun Hao.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki, Kenneth Jonassen (kiri) mendapatkan maklumat daripada jurulatih, K Yogendran, mengenai Leong Jun Hao.
Ini selepas pemain berusia 25 tahun itu mula menewaskan pemain dalam Top 10 dunia.
Pada pusingan pertama Terbuka India, Jun Hao bangkit dari kekalahan set pertama untuk menumbangkan pemain nombor enam dunia dari China, Li Shi Feng 18-21, 21-17, 21-17, Selasa lalu.
“Perlawanan antara Jun Hao dengan Shi Feng cukup menarik dan kita lihat Jun Hao menggunakan semua sumber dan tahap permainan yang betul untuk memenanginya.

Leong Jun Hao dijangka berdepan Weng Hong Yang di pusingan pertama, sekali lagi pada Indonesia Masters minggu depan.
“Kemenangan begini adalah satu perkembangan baik kepada pemain, tapi sangat sukar apabila perlu menewaskan pemain dalam kelompok lapan terbaik dunia,” katanya.
Justeru, Jonassen mahu membina keyakinan diri dan mahukan Jun Hao sentiasa tenang di gelanggang.
Jun Hao berpeluang menebus kekalahan di tangan Hong Yang apabila dia dijadual bertemu lawan itu sekali lagi pada pusingan pertama Indonesia Masters yang akan bermula Selasa ini di Jakarta.