“DARI kecewa ke kemuncak podium.” Itulah kisah penuh inspirasi buat Aleena Nawawi yang berjaya mencipta momen manis bersama Ain Nabilah apabila pasangan mantap ini menghadiahkan pingat emas keenam buat kontinjen negara dalam acara Women’s Pairs di Kejohanan 16th & 14th U25 Asian Lawn Bowls Championships 2025.
Bagi Aleena, kejayaan kali ini bukan sekadar kemenangan biasa. Tahun lalu di Pattaya, beliau pulang tangan kosong dalam kategori yang sama. Namun, kali ini dia dan Ain membuktikan bahawa kerja keras dan semangat tidak mudah mengalah akhirnya membuahkan hasil.
“Saya sangat-sangat happy… tahun ni sangat bermakna untuk saya,” ujar Aleena yang jelas terharu dengan pencapaian tersebut.

Aleena Nawawi ketika beraksi dalam acara Women’s Pairs di Kejohanan 16th & 14th U25 Asian Lawn Bowls Championships 2025.
Kemenangan itu turut didorong oleh keserasian unik antara dua rakan sepasukan ini di atas padang. Aleena menyifatkan Ain sebagai pencetus semangatnya, sentiasa mengingatkannya untuk kekal positif dalam apa jua situasi. Dinamik itu nyata menjadi senjata utama mereka menewaskan lawan-lawan dari rantau Asia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas serantau.
Selain pingat emas, Aleena turut meraih perak dalam acara Women’s Fours bersama Balqis Anisha, Ain Nabilah dan Syafiqa Haidar — satu lagi pencapaian membanggakan yang mengukuhkan prestasi konsisten pasukan wanita negara dalam kejohanan ini.
Bagi Aleena, matlamat mereka bukan sekadar menang, tetapi mempertahankan kejuaraan keseluruhan — sesuatu yang hanya dapat dicapai melalui kesabaran dan ketenangan.

Aleena turut meraih perak dalam acara Women’s Fours bersama Balqis Anisha, Ain Nabilah dan Syafiqa Haidar
Menyentuh soal masa depan, Aleena melahirkan harapan agar sukan boling padang terus diperkasa, khususnya dalam kalangan belia.
“Saya harap lebih ramai akan kenal dan ceburi sukan ini, supaya kita dapat lahirkan pelapis-pelapis baharu,” katanya. Kepada peminat pula, dia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan berterusan yang sentiasa menjadi kekuatan utama mereka.
Kini, fokus Aleena tertumpu kepada sasaran seterusnya, Australia Open pada bulan Jun, dengan azam tinggi untuk mengukir satu lagi kejayaan di pentas antarabangsa.

Skuad wanita negara ketika beraksi dalam acara Women’s Four di Kejohanan 16th & 14th U25 Asian Lawn Bowls Championships 2025.
Malaysia sudah pun menampakkan potensi besar dalam boling padang, dan jika semangat seperti Aleena dan Ain terus disemai, masa depan sukan ini pastinya lebih bersinar.
Secara keseluruhan skuad negara menamatkan kempen dengan pungutan membanggakan meraih tujuh pingat emas, dua perak dan satu gangsa.