TERENGGANU FC menghidupkan kembali peluang mereka untuk mara ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (Piala Shopee) apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PSM Makassar di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu.
Sepakan penalti kapten pasukan, Safawi Rasid, pada minit ke-63 menjadi pemisah dalam perlawanan sengit ini, sekali gus melonjakkan Terengganu ke tangga kedua Kumpulan A.
Dengan tekanan tinggi daripada pasukan pelawat, skuad kendalian Badrul Afzan yang turun dengan formasi 4-3-3 berjaya mengawal rentak permainan walaupun PSM, yang menggunakan formasi 3-5-2, sering memberikan ancaman di kawasan pertahanan.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan, walaupun Terengganu tampil dengan beberapa peluang berbahaya menerusi rembatan Safawi Rasid, Akhyar Rashid, dan Ismahil Akinade.

Sepakan penalti kapten pasukan, Safawi Rasid, pada minit ke-63 menjadi pemisah dalam perlawanan sengit ini.
Gol tunggal perlawanan hadir apabila sepakan penalti diberikan kepada Terengganu selepas bola terkena tangan pemain gantian PSM, Ananda Raehan, di dalam kotak penalti.
Safawi, yang tidak mengecewakan ribuan penyokong setia Sang Penyu, apabila melepaskan sepakan tenang ke penjuru kiri gawang untuk menewaskan penjaga gol PSM, Reza Arya Pratama.
Sorakan gegap gempita memenuhi stadium, menandakan kelegaan buat pasukan tuan rumah.
PSM Makassar, yang sebelum ini menungguli carta Kumpulan A dengan tujuh mata, terpaksa menerima kekalahan pertama mereka dalam kempen ini.
Anak buah Bernardo Tavares cuba menyerang habis-habisan di penghujung permainan, namun kekentalan barisan pertahanan Terengganu berjaya mempertahankan kelebihan hingga ke wisel penamat.

kemenangan malam ini melonjakkan Terengganu ke tangga kedua Kumpulan A.
Kemenangan ini melonjakkan Terengganu ke tangga kedua Kumpulan A dengan tujuh mata, manakala PSM jatuh ke tangga ketiga. BG Pathum United kini memimpin kumpulan selepas mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Shan United, mengumpul lapan mata.
Terengganu kini mempunyai tugas berat menanti mereka apabila bakal bertandang ke Thailand untuk menentang pendahulu kumpulan, BG Pathum United, dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 5 Februari 2025.
Kemenangan di sana akan membuka laluan lebih cerah buat Terengganu untuk mara ke separuh akhir dan mencipta sejarah dalam kejohanan berprestij ini.