SKUAD hoki Sekolah Kebangsaan Simpang Empat Hutan Melintang (SEKASEH Hockey Team) yang baru ditubuhkan pada tahun 2022, telah menunjukkan prestasi luar biasa meskipun berdepan pelbagai kekangan.
Pasukan ini yang dilatih pasangan suami isteri, Muhamad Zaki Muhamad Zulkefli dan Nur Haziha Baharuddin, berjaya mencapai kejayaan membanggakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Walaupun hanya mampu menjalani latihan di atas permukaan simen tanpa kemudahan turf, pasukan ini tetap berjaya bersaing dengan hebat dalam daerah kecil di Bagan Datuk.
“Kami hanya berlatih di atas simen, dan hanya dapat bermain di atas turf semasa kejohanan. Namun, semangat anak-anak ini luar biasa dan kejayaan mereka membuktikan usaha keras tidak sia-sia,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Khamis.

Muhamad Zaki memberi tunjuk ajar taktikal dan formasi permainan kepada anak buahnya.
Menurut Muhamad Zaki , pasukan ini terdiri daripada 30 murid, iaitu 15 lelaki dan 15 perempuan, yang semuanya menunjukkan semangat juang tinggi dalam setiap pertandingan.
“SEKASEH HT kini sedang berusaha mencari dana bagi memastikan program pembangunan hoki di Bagan Datuk dapat diteruskan.

Pasukan SEKASEH HT hanya berlatih atas padang simen.
“Dana diperlukan untuk menampung kos penyertaan ke kejohanan dan peralatan yang diperlukan. Dengan kejayaan yang dicapai, pasukan ini yakin dapat melahirkan lebih ramai pemain hoki berbakat pada masa depan,” katanya.

Pemain SEKASEH HT tetap gigih berlatih demi kejayaan gemilang pada masa depan.
Beliau menambah, pihak sekolah dan jurulatih mengharapkan sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk individu, syarikat, dan badan korporat, untuk membantu membangunkan lagi bakat muda dalam sukan hoki di Bagan Datuk.
“Kami percaya, dengan semangat dan sokongan yang berterusan, SEKASEH HT mampu mencapai lebih banyak kejayaan dan mengharumkan nama Bagan Datuk di arena hoki,” ujarnya lagi.

SEKASEH HT turut miliki skuad perempuan yang bersemangat waja.
Antara pencapaian terbaik yang dilakar pada tahun lepas adalah menjuarai kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah Bagan Datuk 2024 bagi kategori lelaki dan johan Plate Kejohanan Great Stick Edisi Ke-3 Peringkat Kebangsaan bagi kategori lelaki bawah 11 tahun.

Kami Juara. SEKASEH HT merangkul salah satu kejohanan dalam pertandingan disertai tahun lepas.
PENCAPAIAN 2024 :
– JOHAN MSSD BAGAN DATUK 2024 (LELAKI)
– KE – 3 MSSD BAGAN DATUK 2024 (PEREMPUAN)
– JOHAN JUNIOR DEVELOPMENT SPORTS CARNIVAL 2024 NEGERI PERAK (LELAKI)
– JOHAN PLATE KEJOHANAN GREAT STICK EDISI KE 3 PERINGKAT KEBANGSAAN U11 (LELAKI)
– KE 3 CUP KEJOHANAN IRC U10 (LELAKI)
– JOHAN KEJOHANAN HOKI TSUYOI CUP U10 (LELAKI)
– KE 3 KEJOHANAN PEMBANGUNAN HOKI DALAM DEWAN NEGERI PERAK U10 (LELAKI)
– KE 3 CUP 4 ON 4 PROGRAM PEMBANGUNAN HOKI PERAK U9 (PEREMPUAN)
– JOHAN SIRKIT ZON 2 PROGRAM PEMBANGUNAN HOKI PERAK U11 (LELAKI)
– KE 3 SIRKIT ZON 2 PROGRAM PEMBANGUNAN HOKI PERAK U11 (PEREMPUAN)
– SUKU AKHIR MSSPK 2024 (LELAKI & PEREMPUAN)
– SUKU AKHIR GRAND FINAL PROGRAM PEMBANGUNAN HOKI U11 (LELAKI) – LAYAK KE SUPER 8 PERAK