HASRAT beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, untuk membalas dendam ke atas kekalahan di final Terbuka Indonesia tidak kesampaian apabila sekali lagi tumpas kepada lawan yang sama di pentas akhir Terbuka Jepun.

Gandingan negara yang merupakan pilihan ketiga kejohanan itu akur dengan kehebatan pasangan pilihan pertama dari China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning.

Pearly dan Thinaah tewas dalam pertarungan straight set dengan keputusan 15-21, 14-21 dalam tempoh 45 minit.

Pasangan China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning terlalu kuat namun Pearly Tan-M Thinaah tetap memberi persembahan terpuji.

Pada set pertama, pasangan Malaysia itu gagal menyaingi rentak permainan pantas lawan sebelum tunduk 15-21.

Liu dan Tan meneruskan penguasaan mereka pada set kedua untuk menoktahkan kemenangan dengan mata 21-14.

Keputusan ini menyaksikan Pearly dan Thinaah terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara buat kali kedua berturut-turut di tangan pasangan China tersebut.