PEMINAT badminton tanah air bakal menikmati aksi penuh mendebarkan Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 di Paris apabila semua perlawanan dari 25 hingga 31 Ogos ini akan dibawakan secara langsung oleh Sukan RTM.
Inisiatif ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengikuti detik bersejarah dan persembahan terbaik pemain negara tanpa terlepas walau satu pukulan.
Ucapan terima kasih wajar diberikan kepada Sukan RTM, Kementerian Komunikasi, serta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, atas usaha memastikan liputan komprehensif kejohanan berprestij ini dapat diakses secara percuma oleh seluruh rakyat.
Langkah ini bukan sahaja mengangkat sukan badminton di mata dunia, malah menyemarakkan lagi semangat penyokong untuk berdiri teguh di belakang wira-wira negara.
Dengan persaingan sengit dan aksi bertaraf dunia menanti, rakyat Malaysia kini hanya perlu duduk di depan skrin untuk menyaksikan perjuangan hebat di Paris.