PEMAIN beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaid-Yap Roy King dan Aaron Tai-Kang Khai Xing berpeluang mencuri satu slot beregu lelaki dalam skuad Piala Thomas April depan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky bagaimanapun meletakkan syarat kepada pasangan itu, perlu membuktikan kemampuan dengan muncul juara di kejohanan yang mereka sertai selepas ini.

Pengarah kejurulatihan beregi, Rexy Mainaky membayangkan peluang memilih beregu ketiga dalam skuad Piala Thomas masih terbuka, biarpun kedudukan ranking Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani lebih baik ketika ini – prestasi semasa bakal menjadi penentu.

Arif-Roy King bakal beraksi Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China dari 7 hingga 12 April depan manakala Aaron-Khai Xing di Masters Orleans 17-22 Mac ini.

Menurutnya, kejohanan itu bakal menjadi pentas penting buat Wan Arif–Roy King serta beberapa pasangan lain untuk membuktikan mereka layak mengisi slot beregu ketiga negara.

“Jika mereka boleh buktikan kemampuan sebagai juara Asia, kemungkinan mereka akan masuk dalam skuad Piala Thomas,” katanya.

Beliau turut mengulas prestasi Aaron-Khai Xing yang disifat memberangsangkan namun enggan memberi pujian.

“Prestasi Aaron-Khai Xing sudah ditunjukkan menerusi kejutan di Seluruh England dan Terbuka Switzerland, preatasi yang baik tetapi pemain Malaysia tidak boleh dipuji dahulu, prestasi mereka boleh tergugat.

“Jika menang di Orleans, siapa tahu Herry IP berubah fikiran mahu menjadikan mereka beregu ketiga.”

Sebelum ini, ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi mengakui beliau masih pening memikirkan pilihan terbaik untuk mengisi slot beregu ketiga negara.

Namun, dua pasangan utama negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun hampir pasti dipilih menggalas cabaran negara di kejohanan berprestij itu.