Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima keputusan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung kes menurunkan pemain tidak layak dalam kempen kelayakan AFC Piala Asia 2027.

Keputusan tersebut dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang berlangsung pada 17 Mac 2026 dan dipengerusikan oleh Jahangir Baglari.

Menurut keputusan itu, FAM didapati melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan kelayakan.

Dua perlawanan yang terlibat ialah aksi antara Malaysia menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac 2025 yang sebelum ini berakhir dengan kemenangan 2-0 buat Malaysia.

Satu lagi perlawanan ialah pertemuan Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 yang menyaksikan Malaysia mencatat kemenangan 4-0.

Bagaimanapun, berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC, kedua-dua keputusan perlawanan tersebut dibatalkan dan Malaysia diisytiharkan kalah 3-0 bagi setiap perlawanan.

Selain itu, FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119) susulan pelanggaran peraturan tersebut.

Dalam masa sama, FAM memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi bagi mendapatkan alasan penuh keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC sebelum menentukan langkah susulan berhubung perkara berkenaan.