PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan bahawa mereka mengabaikan sukan futsal wanita ekoran ketiadaan saingan liga kebangsaan pada tahun ini selain tiada pasukan dihantar menyertai Kelayakan Piala Asia Futsal Wanita 2025, Januari depan.
Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM menjelaskan perkara ini dilakukan selepas mengambil kira beberapa faktor yang menjadi punca kepada masalah ini.
“Punca utama kita tidak menghantar pasukan ke Kelayakan Piala Asia Futsal Wanita 2025 pada Januari depan adalah kerana kita tidak bersedia untuk menghantar pasukan yang baik dari segi persiapan dan kekuatan dan tidak boleh menghantar pasukan sekadar hendak cukup syarat sahaja.
“Punca utamanya disebabkan kita tidak dapat menganjurkan MPFL Kategori Wanita pada tahun 2024 ini, sekali gus tiada platform khusus untuk mencari dan menilai pemain terbaik bagi mewakili skuad futsal wanita kebangsaan ke pusingan kelayakan ini.
“Kenapa MPFL Kategori Wanita tidak dapat dianjurkan tahun ini? Ini kerana, selepas FAM membuka jemputan untuk pasukan-pasukan dari persatuan negeri dan juga kelab untuk bertanding, hanya 3 pasukan yang mengesahkan penyertaan sekaligus, liga kategori wanita terpaksa dibatalkan penganjurannya.
“Situasi sama berlaku pada tahun lalu yang mana hanya dua pasukan yang mengesahkan penyertaan, sekali gus MPFL 2023 bagi Kategori Wanita juga dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menjelaskan situasi yang berlaku itu, Rosmadi berkata beberapa perkara sudah dinilai dan langkah baharu akan diambil oleh FAM bagi mengatasi masalah ini.
“Berkemungkinan perkara ini berlaku kerana seperti kita maklum, kebanyakan pemain wanita ini, dialah pemain bola sepak dan mereka jugalah pemain futsal.
ARTIKEL BERKAITAN:
Skuad futsal wanita negara seperti ‘hidup segan mati tak mahu’, terus diketepikan FAM
“Jadi di sini apabila berlaku pertindihan kejohanan membabitkan Liga Wanita Nasional (LWN), mereka telah memilih bola sepak berbanding futsal. Begitu juga bagi pasukan bola sepak wanita kebangsaan.”
“FAM berharap persatuan-persatuan negeri dan kelab-kelab dapat memberikan sokongan dan kerjasama untuk sama-sama menyediakan pasukan bagi menyertai MPFL Kategori Wanita pada masa akan datang.
“Ianya akan menyediakan platform terbaik untuk FAM mendapatkan pemain berkualiti bagi mewakili skuad futsal wanita kebangsaan ke mana-mana kejohanan antarabangsa.
“Di pihak FAM, kami telah mengenal pasti segala permasalahan yang wujud dan sudah pun mula melakukan perancangan awal bagi memastikan saingan MPFL Kategori Wanita ini akan dapat dianjurkan semula pada musim 2025 nanti,” jelasnya.