KELAB Nottingham Forest kini berada dalam situasi cemas apabila penyerang mereka, Taiwo Awoniyi dilaporkan berada dalam keadaan koma terinduksi selepas menjalani pembedahan kecemasan akibat kecederaan serius di bahagian abdomen.

Insiden itu berlaku pada minit ke-88 ketika perlawanan dramatik menentang Leicester City yang berkesudahan seri 2-2 di City Ground, Ahad lalu.

Menurut laporan media British termasuk BBC, pemain kebangsaan Nigeria itu mengalami impak kuat selepas melanggar tiang gol ketika cuba menyambut hantaran lintang daripada Anthony Elanga. Awoniyi yang baru sahaja dimasukkan menggantikan Ibrahim Sangare, hanya sempat berada di atas padang selama lima minit sebelum insiden tersebut.

Walaupun menerima rawatan segera dan kembali beraksi, dia dilihat beraksi dalam keadaan terhincut-hincut sepanjang baki perlawanan. Forest dalam kenyataan awal menyatakan bahawa pemain berusia 27 tahun itu telah menjalani fasa pertama pembedahan dan kini dalam proses pemulihan.

“Taiwo Awoniyi kini sedang pulih dengan baik selepas menjalani pembedahan segera akibat kecederaan serius di bahagian abdomen ketika aksi menentang Leicester,” kata kenyataan rasmi kelab.

Dalam pada itu, suasana tegang turut dilaporkan berlaku selepas perlawanan apabila pemilik kelab, Evangelos Marinakis kelihatan turun ke padang dan bersemuka dengan pengurus, Nuno Espirito Santo.

Pengendali Forest kemudian menjelaskan bahawa pertikaian itu berpunca daripada rasa tidak puas hati Marinakis terhadap keputusan tidak mengeluarkan Awoniyi lebih awal, namun menegaskan ia hanyalah salah faham antara pasukan kejurulatihan dan perubatan.

Forest turut menafikan dakwaan bahawa berlaku konfrontasi serius antara Marinakis dan Nuno, menyifatkan laporan itu sebagai “berita palsu” yang tidak berasas.

Insiden ini jelas memberi tamparan hebat kepada Forest yang sedang berjuang mengelak penyingkiran. Awoniyi, yang menyertai kelab itu dari Union Berlin pada 2022, sebelum ini menjadi antara tunjang utama pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.