DI sebalik nama- nama besar yang bakal menghiasi suasana pentas akhir Kejohanan Badminton Dunia (BWF), muncul satu nama yang jarang kedengaran sebelum ini namun kini menjadi salah seorang pemain muda yang mara ke peringkat akhir kejohanan terbesar dunia itu.
Pemain yang dimaksudkan adalah perseorangan Thailand, Kunlavut Vitidsarn. Namanya mula meniti di bibir peminat sejak berjaya menewaskan jaguh dunia dari Singapura, Loh Kean Yew dalam pusingan awal Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo tahun ini.
Vitidsarn yang berusia 21 tahun mula memukau dunia apabila berjaya menewaskan Kenta Nishimoto pada pusingan ketiga, diikuti juara dunia, Loh Kean Yew, bintang negara, Lee Zii Jia sebelum menewaskan Zhao Jun Peng di peringkat separuh akhir untuk beraksi di pentas final buat kali pertama.
Selain itu, dia juga dilihat merupakan prospek terbaik Thailand kerana memiliki usia yang masih muda serta dijangka mampu menggegar dunia jika terus berlatih.
Pencapaian layak ke perlawanan akhir sudah cukup membanggakan kerana selepas persaraan, Boonsak Ponsana dalam dunia badminton, tiada lagi perseorangan Thailang yang benar-benar mampu menyinar di pentas antarabangsa.
Namun, kini Thailand wajar berbangga kerana dapat melahirkan jaguh dalam pembikinan bagi menempuh cabaran yang lebih getir pada masa akan datang.
Dia bakal turun pada perlawanan akhir kejohanan kali ini dan bakal membuat perhitungan dengan pemain No. 1 Dunia, Viktor Axelsen yang kini turut berada di puncak prestasi.
Andai Axelsen berjaya ditewaskannya, dia berjaya melakar sejarah mencipta kejuaraan dunia sulung bagi kem perseorangan Thailand.
Jika tewas, dia tidak perlu berasa kecewa kerana pengalaman berhadapan dengan pemain seperti Axelsen boleh dijadikan sebagai aksi pemanas badan bagi membentuk ketahanan fizikal dan mental yang lebih kuat pada masa akan datang.
Untuk rekod, Vitidsarn berjaya merangkul emas dalam tiga Kejohanan Badminton Remaja Dunia iaitu pada 2017 di Yogyakarta, 2018 di Markham, 2019 di Kazan selain turut meraih emas acara individu dan berpasukan Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.