PEMAIN sayap Brunei, Faiq Bolkiah, dilaporkan berpeluang beraksi bersama DPMM FC dalam saingan Liga Malaysia apabila khidmatnya bersama kelab Thai League 1, Ratchaburi FC, dijangka berakhir pada pertengahan musim ini.
Menurut laman sesawang kelab DPMM FC, Faiq yang turut dikenali sebagai pemain terkaya dunia kini berada dalam radar pasukan tersebut dan perpindahan tersebut dijangka berlaku pada jendela perpindahan Januari 2026.
“Faiq Bolkiah bakal dilepaskan dari kelabnya sekarang Ratchaburi yang beraksi dalam Thai League 1 di Thailand.
“Pada musim 2022/2023, beliau bermain sebanyak 19 kali untuk Chonburi FC sebelum berpindah ke Ratchaburi pada musim 2023/2024.
“Tetapi (khidmat) Faiq dijangka dibuka untuk perpindahan pada Januari (2026) dalam jendela perindahan (Liga Malaysia) seterusnya,” kata kelab itu.
Jika perjanjian dimuktamadkan, Faiq Bolkiah akan menjadi salah satu nama besar yang menghiasi Liga Malaysia musim depan, sekali gus menambah tarikan kepada saingan domestik bola sepak negara.
Seorang lagi pemain yang dijangka memperkuatkan DPMM FC pada bulan depan ialah penyerang muda, Hakeme Yazid Said. Penyerang berusia 22 tahun itu kini sedang menjalani Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan dijangka kembali bersama pasukan pada awal Oktober sebaik sahaja menamatkan komitmennya.
Selain itu, DPMM juga dikhabarkan berminat membawa masuk bekas pertahanan Manchester United, Tyler Blackett, yang berkemungkinan akan menjalani sesi percubaan bersama pasukan. Pemain berusia 30 tahun itu mempunyai pengalaman luas di Eropah dan Amerika Syarikat, termasuk bersama Rotherham United serta FC Cincinnati sekali gus berpotensi menjadi tambahan berharga kepada skuad kendalian Jamie McAllister.
Sumber Gambar: Getty Images