PEMAIN badminton tidak perlu menunggu giliran untuk menjadi juara, sebaliknya mencipta kejayaan di usia muda boleh menjadi inspirasi yang amat bermakna kepada pemain muda.

Pemenang pingat emas beregu lelaki Sukan Asia 2006, Koo Kien Keat berkata, setiap pemain elit di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu melakukannya dengan meningkatkan usaha dan kemahuan diri.

Katanya, pemain muda tidak kira pelapis BAM mahuppun dari luar memerlukan contoh daripada senior yang mampu meraih kejayaan supaya mereka juga berani memasang impian besar.

“Dulu saya (berpasangan dengan Tan Boon Heong) sendiri melihat senior seperti Choong Tan Fook-Lee Wan Wah memenangi menang itu dan ini, ia jadi inspirasi kepada saya untuk ikut jejak langkah mereka,” katanya kepada Flash Sukan.

Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei lakar sejarah sebagai beregu campuran pertama negara muncul juara dunia.

Melihatkan perkembangan sihat apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara dunia beregu campuran dan Pearly Tan-M Thinaah (naib juara beregu wanita), beliau amat berharap pemain negara tidak berhenti menginspirasi bakat masa depan.

Menurutnya, dalam badminton tidak boleh bergantung kepada perjuangan individu sebaliknya perlu ada semangat berpasukan dan cintakan negara.

“Sebenarnya, dalam keadaan yang sihat dan bersemangat untuk berlatih itu lebih penting daripada fikir soal duit atau tawaran luar,” katanya, sambil berharap keputusan lebih baik di Masters China, selepas tiada pemain negara ke final Terbuka Hong Kong, Ahad lalu.

Kien Keat berpandangan, BAM juga harus memberi kredit kepada pengurusan kerana membina suasana positif yang mendorong pemain lebih fokus kepada kejohanan.