KETUA Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon akan memuktamadkan senarai akhir 23 pemain ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 selepas perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Maldives esok dengan pemain yang dipilih adalah berdasarkan kesesuaian taktikal dan bukannya individu.

Pan Gon turut berharap agar para pemain dapat memberikan persembahan terbaik mereka untuk meyakinkan barisan kejurulatihan serta para penyokong untuk berada dalam senarai akhir pemain.

Dia juga gembira dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap pemain kerana berjaya menterjemahkan apa yang dikehendaki olehnya dan barisan kejurulatihan dan dia menghormati kesemua pemain.

“Perlawanan esok adalah sangat penting kerana ianya adalah persediaan kami ke Piala AFF. Setiap pemain akan bersaing sesama mereka untuk merebut tempat dalam senarai akhir 23 pemain. Kami akan membuat keputusan selepas perlawanan dan berharap semua pemain dapat memberikan aksi terbaik untuk meyakinkan kami dan juga para penyokong.

“Semestinya pemilihan 23 pemain ini sangat penting. Keutamaan adalah kepada kesesuaian taktikal dan kami telah menilai kesemua pemain dalam sesi latihan. Kesemuanya layak untuk berada dalam senarai akhir tetapi ada beberapa pemain akan dikorbankan kerana keputusan akhir adalah berdasarkan kesesuaian taktikal dan bukannya individu.

“Saya gembira dan yakin dengan semua pemain saya. Apa yang kami hendaki dapat diberikan oleh setiap pemain. Saya mahukan mereka berlari seperti anjing dan mereka dapat lakukan secara professional dan saya dapat lihat betapa mereka menyayangi negara ini dan saya hormati kesemua pemain dalam skuad ini,” kata Pan Gon ketika sidang media pra perlawanan.

 

Pan Gon turut menegaskan bahawa fokus utamanya kini adalah pada kejohanan Piala AFF dahulu kerana mempunyai masa yang singkat dengan ramai muka baharu namun dia menganggap kejohanan ini adalah peluang buat semua pemain untuk menunjukkan kemampuan mereka untuk dipilih dalam skuad ke Piala Asia.

Malaysia akan turun berdepan Maldives dalam aksi ujian terakhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum terbang ke Myanmar untuk perlawanan pertama Kumpulan B pada 21 Disember 2022.