BANYAK pahit manis dilalui namun Lai Pei Jing terus mempamerkan ketabahan luar biasa apabila enggan mengibarkan bendera putih meskipun sudah tujuh kali menamatkan saingan di pentas final sebagai naib juara.
Bersama pasangan baharunya, Jimmy Wong, perjalanan mereka mungkin masih di awal, namun statistik menunjukkan sinar harapan untuk karier yang masih menyala.

Lai Pei Jing dan Jimmy Wong bersama jurulatih, Ameer Amri Zainuddin. |FOTO FB Lai Pei Jing
Pei Jing mengakui setiap kekalahan di final meninggalkan luka kecil, namun lebih penting baginya ialah kekuatan untuk terus berdiri dan berjuang di gelanggang.
“Barangkali ada yang simpati, barangkali ada yang mencemuh, tapi semua itu tidak penting kerana saya hanya perlu jujur pada diri sendiri,” luah Pei Jing di akaun Facebook miliknya.
Pemain bertubuh kecil berusia 33 tahun itu berkata, hanya dirinya tahu apa yang telah dilalui sepanjang perjalanan getir dalam dunia badminton yang penuh dengan cabaran dan pengorbanan.

Sebagai pemain senior, Pei Jing menunjukkan contoh untuk tidak menyerah dengan mudah.|FOTO FB Lai Pei Jing
“Setiap kali bergelar naib juara memang mengecewakan, tetapi dalam masa yang sama saya tetap bersyukur kerana masih mampu berjuang dan berdiri di podium,” katanya yang koni menghuni ranking ke-37 dunia.
Tampil di kejohanan antarabangsa pertama bersama Jimmy, di Cabaran Antarabangsa Vietnam, Mac lalu, pasangan itu segera meninggalkan impak dengan muncul naib juara, disusuli pencapaian sama di Siri Antarabangsa Thailand, Terbuka St Denis, Terbuka Macau, Masters Indonesia, Masters Indonesia II, dan terbaharu Masters Korea.