PENGARAH Media Mulia23 iaitu pihak pengurusan kepada Flash Sukan, Abu Bakar Atan, menerima pengiktirafan di peringkat Asia apabila dianugerahkan gelaran ‘Legend of AIPS Asia’ sempena Kongres ke-26 Persatuan Penulis-Penulis Sukan Asia (AIPS Asia) yang berlangsung di Hong Kong, semalam.
Anugerah ini memasuki edisi ketiga sejak diperkenalkan pada 2023 bertujuan mengiktiraf sumbangan wartawan sukan di seluruh Asia yang telah berkhidmat puluhan tahun atau sering digelar ‘otai sukan’.
Abu Bakar yang sememang umumnya dikenali sebagai figura wartawan sukan berpengalaman negara menyifatkan anugerah ini bukan hanya untuk diri beliau tetapi ia adalah pengiktirafan kepada seluruh wartawan sukan Malaysia.

Abu Bakar Atan bersama penerima-penerima anugerah yang lain di Hong Kong semalam.
Dengan pengalaman selama lebih 30 tahun dalam arena sukan negara, Abu Bakar menyifatkan kejayaan ini membuktikan kredibiliti wartawan Malaysia bukan hanya dipandang dan dihargai dalam negara sahaja namun ia turut berjaya mencuri perhatian di peringkat global.
“Alhamdulillah, pertama syukur kepada hadrat Allah kerana dengan izin-Nya saya terpilih untuk menerima anugerah ini. Sudah tentu anugerah ini bukan hanya untuk diri saya tetapi ia adalah satu kemenangan buat seluruh warga kewartawanan sukan di Malaysia.
“Saya harap anugerah ini juga mampu menjadi pemangkin semangat khususnya kepada generasi muda mahupun mereka yang sedia ada dalam bidang kewartawanan sukan untuk terus meningkatkan penyampaian berita berkualiti, beretika, isi kandungan bermanfaat dan menarik.
“Ini membuktikan kewartawanan sukan di Malaysia turut mendapat perhatian luar dan menjadi tumpuan, di mana Malaysia juga sering menjadi penganjur kepada kejohanan-kejohanan sukan yang besar, malah kita turut miliki atlet-atlet bertaraf dunia dan bukan calang-calang.

Abu Bakar Atan bergambar bersama Presiden AIPS, Hee Don Jung.
“Sebagai wartawan sukan, kita juga bukan hanya melapor berita tetapi juga turut bersama-sama membantu membangunkan industri sukan negara menerusi lontaran idea dan juga kritikan membina,” katanya selepas menerima anugerah tersebut di Nina Hotel, Tsuen Wan West.
Abu Bakar menjadi penerima kedua anugerah berkenaan dari Malaysia, selepas Ahmad Khawari Isa turut menerima pengiktirafan sama pada tahun lepas.
Beliau memulakan karier kewartawanan sukan pada tahun 1984 sebagai wartawan sukan di Berita Harian dan seterusnya menjadi kumpulan pertama di Harian Metro dengan bertugas selama tiga tahun.
Kemudianya, beliau mengembangkan kariernya di TV3 dan membina kerjaya sebagai pembaca berita sukan sejak tahun 1997 hingga 2021.
Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada 2004-2009 selama dua penggal.
“Tidak lupa, terima kasih kepada Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang membolehkan saya menerima anugerah ini,” tambahnya.