BANYAK yang boleh dipelajari oleh skuad bola sepak wanita kebangsaan daripada kempen Piala AFF Wanita 2022 apabila sekali lagi tewas kali ini kepada Australia 6-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A di Manila pada Selasa.
Australia, tuan rumah bersama Piala Dunia Wanita 2023 memberikan pengajaran berguna kepada skuad negara apabila menang mudah namun mereka masih gagal untuk layak ke peringkat separuh akhir.
Pun begitu, pujian harus juga diberikan kepada anak-anak buah Jacob Joseph yang masih menunjukkan kesungguhan dalam permainan meskipun ketinggalan 3-0 seawal 24 minit permainan.

Azurin Mazlan berjaya menafikan sepakan penalti pada minit ke-26 untuk menjadikan kedudukan lebih terhormat untuk skuad kebangsaan untuk keputusan 3-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Penyerang Australia, Mackenzie Hawkesby nyata cemerlang apabila berjaya menjaringkan hatrik dan juga gol keempatnya dalam kejohanan ini dengan barisan pertahanan negara sukar mengekang asakan demi asakan yang dilakukan lawan.

Malaysia mengakhiri kempen di tempat kelima dengan dua mata hasil keputusan seri menentang Indonesia dan Singapura dan apa yang membimbangkan adalah skuad Tigress hanya mampu menjaringkan satu gol dari lima perlawanan.
Secara keseluruhan, jika ditambah dengan dua perlawanan persahabatan sebelum ke Manila skuad negara turut gagal menjaringkan gol dalam enam perlawanan dan ini pastinya bukan satu petunjuk yang bagus buat mereka.

Tuan rumah, Filipina dan Thailand layak ke peringkat separuh akhir sebagai juara dan naib juara kumpulan dan bakal bertemu Vietnam atau Myanmar yang juga sudah menempah tempat dari Kumpulan B.