MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu siasatan terhadap kes simbah asid ke atas Faisal Halim diteruskan walaupun diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh pihak berkuasa.
Menurut Hannah, kejadian itu bukan insiden kecil kerana Faisal adalah pemain kebangsaan dan atlet negara yang telah banyak menerima pelaburan.
“Apa yang berlaku kepada Faisal Halim adalah jenayah berat. Saya harap pihak polis tidak berhenti setakat ini,” katanya, selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia, di ibu negara.

Kes simbah asid Faisal Halim diklasifikasi ‘tiada tindakan lanjut’
Hannah berkata, beliau bagaimanapun lega apabila polis menjelaskan NFA tidak bermakna siasatan dihentikan dan berharap usaha mencari pelaku terus dipergiat.
Dalam sidang media semalam, peguam Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha mendedahkan kes diklasifikasikan NFA selepas polis gagal mengenal pasti suspek.
Peguam Mohd Haijan Omar pula menggesa PDRM dan Jabatan Peguam Negara membuka semula kertas siasatan agar keadilan dapat ditegakkan.

Faisal mengalami kecederaan lecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya tahun lalu.