PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio gembira dengan kemenangan aggregat 6-0 ke atas PJ City FC dengan menyifatkan penggiliran pemain yang dilakukan sangat baik dan membantunya mempersiapkan pasukan untuk perlawanan akan datang.

Selain itu dia juga berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan pemain kacukan Sepanyol- Indonesia, Jordi Amat yang dianggap sebagai pemain berpengalaman luas dan kini boleh diharapkan oleh pasukan.

“Ianya adalah satu perlawanan yang baik. Bukan mudah untuk menang 4-0 di laman lawan dan kini 2-0 di tempat sendiri. Kami menang aggregat 6-0 dan ianya keputusan yang bagus buat kami dalam dua pertemuan ini.

“Kami juga gembira dengan penggiliran pemain yang dilakukan. Ianya sangat baik untuk kami menyediakan pasukan untuk perlawanan berikutnya dan kami bersedia dengan cabaran yang akan datang.

“Dengan melakukan penggiliran pemain, kami dapat memberikan minit permainan kepada pemain yang jarang diturunkan dan mereka juga berjaya membuktikan kemampuan mereka yang setaraf dengan kesebelasan utama.

Jordi Amat

“Jordi adalah pemain yang berpengalaman dan hari ini dia membuktikannya. Dia juga memerlukan lebih minit permainan kerana dia mampu memberikan sesuatu kepada pasukan dan kami juga gembira kerana dia boleh diharap dan kini kami mempunyai lebih pilihan untuk diturunkan sebagai pemain pertahanan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Hector juga hanya mahu fokus kepada pasukan dan pemainnya sendiri dan tidak menganggap semua perlawanan yang bakal dihadapi sebagai sukar dan perlu menggunakan peluang yang ada untuk menambah baik pasukan.

“Kami hanya akan fokus kepada diri kami sendiri kerana setiap perlawanan adalah sukar dan kami perlu lebih baik terutama dalam ketajaman penyudah dan kami perlu menggerakkan bola lebih pantas.”

JDT kini akan berhadapan Kelantan FC pada peringkat suku akhir dengan perlawanan pertama bakal berlangsung di Kota Bharu sekaligus mengembalikan nostalgia pertemuan kedua-dua pasukan pada 2013.