KELAB dari Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam menyertai Malaysia Purple League (MPL) tahun ini, sekali gus menambah kemeriahan saingan selepas kejohanan itu tidak dianjurkan selama tiga tahun.
Buat julung kalinya penyertaan kelab badminton antarabangsa dalam Malaysia Purple League, menaikkan lagi prestij kejohanan.
Ketua Pegawai Operasi MPL, Ho Khek Mong berkata, kejohanan terbabit semakin dikenali dan diharap menjadi platform melahirkan pemain ternama di masa akan datang.
“Sejak 2014, Purple League melahirkan beberapa pemain yang dulunya remaja, kini berkelas dunia termasuk Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong,” katanya.

Dari kiri.. Khek Mong, Kim Heng dan Mohammad Farid bergambar ketika sidang media pengumuman SENHENG redONE Purple League Profesional 2022.
Malah, pembabitan kelab dari luar negara kali ini menaikkan lagi taraf kejohanan liga di Malaysia.
Empat kelab antarabangsa yang mengambil bahagian kali ini terdiri daripada Kelab Badminton Chandra Wijaya International Badminton Centre (Indonesia), Singapore Badminton Club, Ho Chi Minh Centre Badminton Team (Vietnam) dan Sena Bangkok Club (Thailand).
Manakala kelab tempatan pula terdiri daripada Ampang Jaya Badminton Club, Petaling BC, Puchong United BC dan Serdang BC
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato Jana Santhiran berkata, Purple League diharap melahirkan lebih ramai pemain muda untuk diketengahkan ke skuad kebangsaan.
“Kita di kementerian sentiasa menyokong usaha di peringkat akar umbi sebegini dan saya harap lebih banyak program pencarian bakat di peringkat usia muda,” katanya.
Pemilik dan juga jurulatih Serdang BC, Ong Ewe Hock berkata, kelabnya akan fokus kepada pemain muda.
“Matlamat kami di Serdang BC adalah memberi ruang kepada pemain-pemain muda agar mereka memperoleh pengalaman berharga.
“Jika mereka menyertai kejohanan antarabangsa, belum tentu mereka dapat peluang menentang pemain berkelas dunia, jadi, inilah masa untuk mereka kenal cabaran menentang pemain yang hebat,” kata Ewe Hock.
Antara pemain antarabangsa yang sah akan beraksi adalah Nguyen Gein Minh, Vu Thi Thanh dari Vietnam serta pemain perseorangan lelaki nombor empat dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen.
Saingan Malaysia Purple League akan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, menawarkan hadiah kemenangan RM500,000.