KETUA jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menjelaskan keputusan untuk mengubah gandingan utama ketika aksi terakhir Kumpulan B Piala Thomas 2026 dibuat demi kepentingan pasukan, walaupun bukan satu langkah mudah.
Menurutnya, keputusan memecahkan pasangan utama melibatkan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dilakukan selepas perbincangan bersama barisan kejurulatihan serta pemain, dengan mengambil kira situasi semasa dan keperluan taktikal pasukan.
Beliau menegaskan setiap keputusan dibuat secara kolektif dan berlandaskan kombinasi terbaik yang mampu diturunkan pada ketika itu, meskipun sedar risiko yang perlu dihadapi dalam perlawanan penting menentang Jepun.
Herry turut menjelaskan faktor kecergasan pemain menjadi antara pertimbangan utama dalam perubahan tersebut, terutama apabila terdapat pemain yang tidak berada pada tahap optimum untuk beraksi.
Dalam situasi itu, Malaysia tetap berjaya menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai naib juara Kumpulan B walaupun tewas 2-3 kepada Jepun.
Salah satu aksi mencuri tumpuan menyaksikan Aaron digandingkan bersama Tee Kai Wun, dengan pasangan itu bangkit selepas tewas set pertama sebelum meraih kemenangan ke atas gandingan Jepun, Kakeru Kumagai dan Hiroki Nishi.
Namun percaturan lain tidak menjadi apabila gandingan Nur Izzuddin Rumsani bersama Wooi Yik gagal menyumbang mata selepas tewas kepada pasangan Jepun, Takumi Nomura dan Yuichi Shimogami.
Perjalanan Malaysia dalam kejohanan itu akhirnya terhenti di suku akhir selepas tewas 0-3 kepada China, sekali gus menamatkan impian memburu gelaran Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi negara lebih tiga dekad lalu.