PASANGAN beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, membuka kempen BWF World Tour Finals Hangzhou 2024 dengan kemenangan penting ke atas pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, meskipun mempamerkan aksi yang kurang mantap pada perlawanan pertama semalam.
Aaron-Wooi Yik bangkit selepas tewas set pertama untuk mencatat kemenangan 17-21, 21-18, 21-15 dalam pertarungan sengit Kumpulan B.
Aaron mengakui bahawa prestasi mereka semalam tidak berada pada tahap terbaik, namun kecederaan yang dialami oleh Ren Xiang Yu sedikit sebanyak memudahkan laluan mereka mencapai kemenangan.
“Jujur, prestasi kami tidak begitu baik hari ini. Kami cuma bernasib baik apabila Ren cedera sedikit. Kami berharap dia segera pulih,” ujar Aaron.
Dalam perlawanan semalam, pasangan Malaysia itu menunjukkan ketenangan walaupun ketinggalan di set pertama.
Menurut Aaron, mereka sentiasa bersedia menghadapi perlawanan panjang dan tidak panik apabila berada dalam situasi sukar.
“Kami selalu menjangkakan perlawanan akan ke rubber set. Jadi, walaupun tewas set pertama, kami terus fokus pada diri kami sendiri,” tambahnya.
Sementara itu, Wooi Yik menegaskan mereka tetap mengekalkan permainan mereka tanpa mengambil kesempatan terhadap kecederaan lawan.
“Kami cuma mahu bermain dengan rentak kami sendiri. Walaupun mereka nampak perlahan di set ketiga, kami hanya memastikan tempo permainan kami tinggi untuk memaksa mereka melakukan kesilapan,” katanya.
Hari ini, cabaran lebih besar menanti Aaron-Wooi Yik apabila mereka bakal berdepan pasangan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Pasangan Indonesia itu, yang kini kembali ke prestasi terbaik mereka, dijangka akan memberi tentangan sengit. pada perlawanan hari ini.
Aaron mengakui bahawa sudah lama mereka tidak bertemu di gelanggang, dan fokus utama adalah untuk memperbaiki konsistensi permainan mereka.
“Kami sudah lama tidak bermain dengan mereka. Baru-baru ini, mereka semakin konsisten dan kembali ke prestasi terbaik. Jadi, perkara paling penting adalah kami perlahan-lahan mendapatkan rentak dan meningkatkan konsistensi dalam permainan,” kata Aaron.