“KEPADA semua pemain Harimau Malaya, teruskan berjuang dan berikan sepenuh jiwa raga di atas padang. Biar mati mencuba, jangan mati kecewa.”
Itu antara sokongan semangat yang diluahkan oleh salah seorang penyokong Harimau Malaya yang menonton perlawanan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada pagi Selasa .
Angah Bahrin yang gemar disapa sebagai Angah turut menyifatkan bahawa pengorbanannya untuk turun ke stadium seawal 12 pagi adalah satu perkara yang tidak perlu dikesali walaupun Malaysia gagal mempertahankan gawang gol daripada dibolosi oleh Jordan.
Menurutnya, kekalahan di dalam aksi perlawanan Piala Asia menentang Jordan yang kini berada di ranking FIFA ke-87 sememangnya sudah dijangka lebih awal kerana dirinya lebih memikirkan soal realistik dalam bola sepak.
“Tetapi, saya agak kecewa kerana harapan saya untuk melihat skuad kebangsaan kita sekurang-kurangnya dapat beri saingan yang sengit terhadap pasukan Jordan.
“Tetapi dengan keadaan pemain yang kelihatan agak gementar pada 20 minit pertama permainan, mungkin itu menjadi punca kita bolos tiga gol pada babak pertama.
“Pada babak kedua saya melihat permainan mereka lebih positif dan saya yakin Malaysia boleh kembali bangkit untuk perlawanan seterusnya menentang Bahrain pada Sabtu nanti,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Angah yang merupakan anak jati dari Kota Kinabalu, Sabah turut menyatakan bahawa pengalaman mahal apabila dapat menonton aksi Malaysia di skrin layar SNBJ bersama-sama penyokong yang lain perlu dirasai semula.
“Pertama kali saya turun ke stadium pada awal pagi dan saya sangat teruja untuk itu. Semestinya akan menjadi pengalaman yang sangat menarik malah saya tidak menyesal sama sekali walaupun Malaysia kalah 4-0,” kata Angah.