PERTEMBUNGAN ‘top of the table’ Liga Super antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini pastinya menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dijangka penuh dengan kedua-dua penyokong yang mahu menyaksikan satu permainan yang bekualiti dan penyokong NSFC nyata teruja dan berkongsi rasa itu secara eksklusif bersama Flash Sukan.

Badrul Hafizan Md Isa dari Seremban sememangnya tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya untuk melihat NSFC bertemu pasukan yang dianggap terbaik di Malaysia ketika ini dan berharap skuad Hobin Jang Hobin tidak bermain secara ‘ultra defensive’.

Badrul juga percaya dengan percaturan jurulatih, K.Devan tetapi tetap realistik dengan tahap yang ada pada pasukan NSFC berbanding JDT yang baru sahaja layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC.

Badrul Hafizan Md Isa

“Sudah tentu saya teruja untuk menyaksikan pasukan kegemaran saya bertemu dengan lawan yang sudah di peringkat Asia. Ianya pasti satu perlawanan yang sukar dan penyokong faham akan keadaan ini dan ianya juga medan terbaik untuk menguji kekuatan sebenar pasukan kami.

“Saya tidak menyangka yang NSFC akan terus mampu menjadi pesaing walaupun baru sahaja naik ke Liga Super. K.Devan adalah jurulatih yang baik tetapi saya berharap malam ini NSFC tidak memarkir bas dan bermain secara lebih terbuka meskipun sedar lawan kita bukanlah calang-calang pasukan,” ujar Badrul kepada FLASH SUKAN.

Keterujaan Badrul ini turut sama dikongsi seorang penyokong wanita Negeri Sembilan dari Kuala Pilah, Siti Khadijah Rosli yang tidak menyangka pertemuan dengan JDT kali ini adalah perlawanan penentuan takhta Liga Super.

Pemain-pemain JDT menjalani latihan sebelum bertandang ke Paroi malam ini. Foto: JDT

Walaupun masih terlalu awal untuk bergembira, tetapi kejayaan skuad Jang mengungguli carta liga adalah satu pencapaian yang membanggakan untuk juara Liga Premier 2021 itu.

“Semestinya saya teruja dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh skuad Jang. Bermula dari Liga Perdana dan kini berada di persada Liga Super, pertemuan dengan juara bertahan liga malam ini pastinya sangat dinanti-nantikan oleh setiap penyokong,” ujarnya.

Walaupun perlawanan dilangsungkan pada hari bekerja dan selepas sambutan Aidilfitri, ianya tidak membataskan semangat para penyokong sekalian yang setia kerana bukan mudah untuk menyaksikan aksi kelas Asia JDT yang masih segar dengan kejayaan di ACL.

Dengan kedua-dua pasukan masih belum tewas dalam saingan liga musim ini, pertemuan malam ini pastinya menarik dan memberikan kepuasan kepada penyokong walau apa jua keputusan.