FOTO : KDA FC

MISI Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk memintas Sabah FC gagal apabila tewas mengejut ketika melayan kunjungan PDRM FC di laman sendiri pada aksi Liga Super pada Sabtu.

Perlawanan ‘pesta kad’ di Stadium Darul Aman menyaksikan PDRM terlebih dahulu menguji gawang KDA FC selepas percubaan jarak 25 ela Fadi Mahmoud Awad seawal minit keempat.

Kedah turun dengan kesebelasan berbeza apabila menyenaraikan Al Hafiz Harun dan Jonathan Boareto Dos Reis sebagai pemula dilihat buntu mencari jaringan.

Bersambung babak kedua, pelbagai drama terjadi. PDRM berterusan menekan tuan rumah. Alif Najimi Shaaini yang diberi tugas mengambil sepakan percuma m-54 berjaya memaksa Kalamullah Al-Hafiz melayangkan badan menepis bola keluar.

Malang menimpa Kedah apabila kapten pasukan, Manuel Ott dilayangkan kad merah lima minit kemudian selepas pertengkaran dengan Fadi dan memaksa Nafuzi melakukan empat pertukaran serentak sekaligus di bahagian tengah dan serangan.

Hasilnya, permainan Sang Kenari seakan bernyawa kembali menerusi gerakan lincah dan pantas dari Manuel Hidalgo dan Fayadh Zulkifli Amin.

Sedikit mengejutkan Nafuzi diperintahkan meninggalkan bangku simpanan kerana menerima kad merah m-70. Dia dilihat cuba memberi “peluk” kepada pegawai keempat dan tugasnya segera diambil alih penolong, Victor Andrag.

Kekurangan itu dimanfaatkan pelawat dengan gol tunggal Bruno Suzuki m-74 untuk kemenangan pertama PDRM musim ini selepas bermain tiga perlawanan.

Ia juga kemenangan pertama PDRM dalam Liga Super Malaysia dalam tempoh hampir tujuh tahun.

Sebagai rekod, PDRM mengalahkan Pahang FA (Sri Pahang FC) 1-0 pada 6 Ogos 2016.