SAINGAN Liga Super antara Perak FC dan Sabah FC hari ini akan menyaksikan Stadium Ipoh, Perak sebagai saksi perlawanan terakhir di laman sendiri buat skuad kendalian Yusri Che Lah.
Jaminan buat skuad Perak FC memiliki tiga mata penuh malam ini amat tinggi kerana mengikut rekod ‘head-to-head’, Sabah FC tidak pernah berjaya menumpaskan skuad Perak di stadium tersebut.
Namun, berbaki dua perlawanan ini Perak FC perlu akur dengan sebarang keputusan perlawanan menentang Sabah FC mahupun seterusnya Terengganu FC pada 17 Disember.
Hal ini kerana, Perak FC sedang menduduki tangga ke-11 (kelompok bawah) dalam carta dengan 22 mata keseluruhan selepas mengharungi 24 perlawanan Liga Super 2023.
Jadi secara sedar atau tidak sedar, impian pasukan tersebut untuk bersandar di kedudukan ‘tengah’ carta Liga Super agak jauh untuk dicapai buat ketika ini dan sukar untuk dikejar.
Sementara itu, perlawanan yang akan berlangsung di stadium keramat Ipoh malam ini pasti menjadi taruhan juga buat pasukan Sabah FC yang ingin memburu kedudukan ketiga dalam carta yang kini sedang diduduki oleh skuad Kedah FC.
Kedudukan ketiga itu amat penting bagi mereka untuk mengekalkan kuasa ke Piala AFC musim hadapan sejurus meminggirkan sasaran skuad Sang Kenari yang ingin memburu aksi perlawanan Liga Juara-Juara AFC pertama mereka.