NAMA Datuk Zainal Abidin Hassan terus terpahat sebagai antara figura paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak Malaysia, khususnya menerusi peranannya yang luar biasa dalam edisi sulung Kejohanan ASEAN 1996.

Walaupun kempen tersebut berakhir dengan kekecewaan selepas tewas tipis kepada musuh tradisi, Thailand di pentas final, sumbangan beliau tetap dikenang sebagai nadi utama kejayaan skuad negara mara sejauh itu.

Ketika berada di penghujung karier, beliau membuktikan pengalaman mengatasi segalanya apabila beraksi cemerlang di posisi pertahanan tengah dan seterusnya dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan dan sehingga kini, Zainal Abidin Hassan kekal sebagai satu-satunya pemain Malaysia yang pernah meraih anugerah individu berprestij itu dalam sejarah kejohanan berkenaan.

Perjalanan kariernya yang bermula seawal usia 18 tahun menyaksikan beliau mengumpul lebih 100 penampilan antarabangsa serta menjaringkan lebih 50 gol untuk negara.

Menariknya, beliau memulakan karier sebagai pertahanan kanan sebelum ditukar ke posisi penyerang atas cadangan jurulatih ketika bersama Pahang FA, Frank Lord dan perubahan posisi itu menjadi titik tolak kebangkitan beliau sebagai penyerang prolifik yang digeruni di peringkat domestik dan serantau.

Namun, menjelang penghujung karier, beliau sekali lagi membuat keputusan berani dengan kembali ke posisi pertahanan tengah demi memanjangkan tempoh permainan di tahap tertinggi.

Pada awalnya, beliau hampir tidak menyertai kejohanan 1996, namun pujukan jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan serta pembantunya Irfan Bakti Abu Salim membuatkan beliau kembali sebagai kapten pasukan.

Keputusan tersebut ternyata berbaloi apabila beliau memainkan peranan penting sebagai pemimpin di atas padang kerana sepanjang peringkat kumpulan, Malaysia mempamerkan aksi cemerlang termasuk kemenangan besar ke atas Filipina dan Brunei, selain seri dengan Singapura dan Thailand.

Di pentas separuh akhir, beliau mengetuai benteng pertahanan dengan penuh disiplin untuk membantu Malaysia menewaskan Indonesia 3-1 sebelum melangkah ke final namun impian menjulang trofi tidak kesampaian apabila jaringan awal Kiatisuk Senamuang memastikan kemenangan memihak kepada Thailand.

Walaupun tewas, prestasi keseluruhan Malaysia ketika itu membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan terbaik di rantau ini dan selepas bersara, Zainal Abidin Hassan meneruskan legasinya dalam dunia kejurulatihan dengan membantu Pahang FA meraih kejuaraan Piala Malaysia dan Piala FA.

Beliau juga pernah mengemudi beberapa pasukan lain termasuk Selangor FC sebelum kini berperanan sebagai pengarah teknikal dan meskipun memasuki usia 60-an, semangatnya terhadap bola sepak tidak pernah luntur malah terus komited untuk membimbing generasi baharu.

Saingan ASEAN Championship 2026 bakal menyambut ulang tahun ke-30 dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos.

Diharapkan sejarah gemilang yang pernah dicipta legenda seperti Zainal Abidin Hassan, harapan kini disandarkan kepada generasi baharu untuk mengulangi kegemilangan tersebut di pentas serantau.

Sumber : Website ASEAN Hyundai Cup