PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin, mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan kongres penggal baharu 2025-2029.

Perkara itu disahkan beliau dalam sidang media selepas Mesyuarat Ke-13 Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025, yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Rabu.

Hamidin memberitahu keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada individu baharu untuk menerajui FAM dan membawa badan induk bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

“Saya sudah berada di sini selama enam setengah tahun. Saya rasa sudah tiba masa untuk memberi ruang kepada pemimpin baharu yang boleh meneruskan kecemerlangan FAM,” ujarnya.

Tan Sri Hamidin Mohd Amin, mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan kongres penggal baharu 2025-2029.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 akan diadakan pada 15 Februari 2025, bertempat di Hotel Dorsett, Subang Jaya dan kongres tersebut akan turut merangkumi pemilihan barisan Jawatankuasa Eksekutif yang baharu.

Selain itu, Hamidin mengesahkan bahawa struktur baharu FAM akan diumumkan secara rasmi pada bulan ini setelah proses finalisasi selesai.

Struktur baharu ini dijangka akan membawa pembaharuan strategik bagi memperkukuh perjalanan dan hala tuju skuad Harimau Malaya dan badan induk itu.

Pengunduran Tan Sri Hamidin, yang menerajui FAM sejak 2018, bakal membuka lembaran baharu dalam kepimpinan bola sepak negara.

Semua mata kini tertumpu kepada calon-calon yang bakal diketengahkan ahli gabungan FAM untuk meneruskan misi memperkasa bola sepak Malaysia.