BAGI kebanyakan pemain bola sepak profesional, kerjaya mereka selepas bersara lebih tertumpu kepada beberapa perkara seperti pundit, jurulatih dan juga menikmati hidup hasil pendapatan lumayan sebelum ini.
Tetapi ada juga beberapa pemain yang langsung melupakan bola sepak dan ada juga yang menukar karier mereka bagi memastikan diri mereka sentiasa sibuk dan mempunyai minda yang lebih segar.
Perkara ini berlaku kepada bekas pemain Manchester United, Fabien Barthez yang kini berkecimpung dalam sukan permotoran selepas bersara dari karier bola sepaknya yang cemerlang.
Dia yang mempunyai minat mendalam terhadap perlumbaan kereta, kini mempunyai pasukan sendiri hasil kerjasama dengan bekas pemandu Formula Satu Perancis, Olivier Panis yang dikenalinya sejak 2008.
“Saya sentiasa kagum dengan perlumbaan kereta sejak dari zaman saya bermain bola sepak kerana ianya sering menarik minat dan saya mahu memahami apa rasanya berada di dalam kereta. Saya perlu menunggu sehingga tamat karier pro saya untuk mencubanya.
“Berbeza dengan bola sepak, anda masih boleh beraksi dengan baik walaupun berusia 35 tahun di mana saya bersara dari sukan bola sepak ketika itu,” katanya dalam satu dokumentari khas.
Kerjaya perlumbaan Barthez bermula pada tahun 2008 di mana dia menyertai Porsche Carrera Cup bersama jentera Porsche 997 GT3 Cup namun dia gagal menamatkan perlumbaan sebelum mengakhiri perlumbaan di tempat ke-33 dalam siri Spider Cup pada penghujung tahun yang sama.
Barthez kemudian menyertai pelbagai lagi siri perlumbaan seperti Bioracing Series, French GT Championship dan Caterham Sigma Cup France yang mana dia gagal menamatkan perlumbaan dalam setiap siri itu.
Bekas pemenang Piala Dunia itu memerlukan dua tahun sebelum berjaya menjejaki podium ketika perlumbaan pertama FFSA GT Championship di Litar Dijon-Prenois pada 2010 dan selepas itu dia tidak lagi menoleh ke belakang.
Dia kini semakin berjaya dan memperolehi kemenangan pertama pada 2011 dan pada 2013 dia adalah juara French GT bersama-sama rakan senegara Morgan Moullin-Traffort.
Kini di usia 52 tahun, Barthez membuktikan dia sememangnya mempunyai bakat dalam sukan permotoran selain kejayaan dalam sukan bola sepak yang menyaksikan dia muncul juara dunia, Eropah, Liga Inggeris, Liga Perancis dan Liga Juara-Juara UEFA ketika kemuncak kariernya.