PASUKAN e-sukan popular di asia tenggara, Paper Rex (PRX)  dijadualkan akan bertemu pasukan dari China, Xi Lai Gaming (XLG) dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, Valorant Champions 2025 Paris pada 12 September 2025.

Selepas menjuarai VCT Pacific Stage 2 di Tokyo  dan mengangkat trofi Masters Toronto 2025, PRX kini dalam momentum luar biasa untuk mendominasi kumpulan ini serta dijangka mampu menempah slot ke peringkat playoff.

Barisan pemain seperti f0rsakeN, d4v41, something, Jinggg dan bintang terbaru mereka PatMenkini berada di prestasi terbaik, menambah keyakinan penyokong tegar bahawa PRX mampu menggegar pentas dunia.

Selain PRX dan XLG, kumpulan ini turut dihuni dua lagi pasukan gergasi, Sentinels dari Amerika Utara dan GIANTX dari EMEA yang pasti memberikan cabaran sengit.

Pentas Paris kali ini juga menjadi peluang besar buat PRX untuk menebus kekecewaan di edisi Valorant Champion 2023 Los Angeles apabila menamatkan saingan di tempat ke-2 selepas tewas 3-1 pada Grand Final di tangan Evil Geniuses.

Menariknya, menjelang Valorant Champions Paris 2025 ini, PRX turut melancarkan jersey rasmi edisi 25/26 khas buat peminat setia mereka. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh terus ke laman rasmi Instagram Paper Rex.

sumber: IZZAC NORAZALI