PENGASAS bersama pasukan e-sukan Selangor Red Giants Esports (SRG), Simon Lim, secara rasmi meninggalkan organisasi tersebut bagi meneruskan kerjaya profesional dengan peluang kepimpinan baharu.
Perkara itu dimaklumkan pihak pengurusan SRG menerusi satu kenyataan rasmi hari ini, yang turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan beliau sejak penubuhan pasukan tersebut.
Menurut kenyataan berkenaan, Simon merupakan antara individu penting yang membantu membentuk asas dan hala tuju SRG sejak awal penubuhannya.
“Sejak awal penubuhan SRG, Encik Simon merupakan antara tonggak utama yang membentuk asas dan hala tuju pasukan ini. Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sumbangan, komitmen dan dedikasi yang telah beliau curahkan sepanjang tempoh bersama SRG,” menurut kenyataan itu.
Di bawah kepimpinan beliau, SRG menjadi pasukan paling dominan di MPL MY dengan menjuarai 4 musim berturut-turut daripada musim 13 hingga musim 16.

SRG Esports ketika menjuarai MLBB Mid Season Cup (MSC) 2024 di Riyadh.
SRG turut menjadi pasukan Malaysia pertama memenangi MLBB Mid Season Cup (MSC) 2024 dan konsisten menjadi pasukan tiga terbaik untuk kejohanan antarabangsa MSC 2025 , M6 dan M7 World Championship.
Menurut kenyataan itu lagi, di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah akan terus komited dalam menjadikan 2026 tahun yang bermakna buat penyokong.
Pasukan berkenaan kini memasuki fasa pertumbuhan seterusnya dengan memberi tumpuan kepada penskalaan yang mampan, berteraskan nilai, identiti dan semangat kebanggaan yang menjadi asas penubuhan SRG.
Sumber Gambar: NST dan Moonton