HARI kedua bagi MPL MY menyajikan persembahan penuh dramatik buat penonton selepas dua perlawanan memperlihatkan kebangkitan berlaku.

Invictus Gaming (IG) membuka hari kedua dengan kemenangan bersih terhadap Bigetron MY By Vitality (BTRM), 2-0 di mana memperlihatkan pemain import muda daripada Indonesia, Hazle tampil sebagai pemain terbaik perlawanan dengan penggunaan hero Yi Sun-shin.

Pemain legenda MPL MY, Cikugais kembali menyandang posisi goldlaner bagi BTRM bagi perlawanan ini tetapi itu belum cukup bagi mendapatkan kemenangan buat mereka.

Di samping itu, Skuad baharu bimbingan Boss Simon, All Combo (AC) memulakan perlawanan dengan persembahan dominan pada pusingan pertama terhadap Team Flash.

Organisasi daripada Singapura, Team Flash tidak mengalah dan menyapu dua pusingan seterusnya bagi mata kemenangan sekaligus Hades dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan.

Bagi perlawanan penutup hari kedua, Team Rey mengejutkan Selangor Red Giants Esports (SRG) pada  pusingan pertama selepas menerbalikkan keadaan  bagi mata pertama mereka.

SRG yang kembali pada perlawanan ini bersama jungler mereka Sekys menunjukkan mengapa mereka adalah penyandang juara selepas berjaya mendapatkan kemenangan bagi perlawanan ini dan Kramm tampil sebagai pemain terbaik bagi perlawanan ini.

Minggu pertama bagi MPL MY akan diakhiri dengan dua perlawanan yang menampilkan AC akan menentang BTRM dan RRQ Tora akan berentap dengan Team Flash.

Sumber gambar: Instagram MPL MY