JAGUH berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Datuk Azizulhasni Awang menghadirkan khabar gembira buat kem negara selepas masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam acara keirin di Kejohanan Japan Track Cup 1 di Velodrom Izu, Jepun hari ini.

Shah Firdaus tampil cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua, manakala Azizulhasni melengkapkan podium selepas menamatkan saingan di tempat ketiga.

Pingat emas acara itu menjadi milik pelumba tuan rumah, Kaiya Ota yang berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mengungguli perlumbaan akhir.

Kejayaan dua pelumba negara itu dianggap keputusan yang baik buat skuad berbasikal trek kebangsaan selepas mereka gagal menyerlah dalam acara pecut pada hari pertama kejohanan semalam.

Cabaran pelumba negara dalam acara pecut berakhir lebih awal apabila gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya.

Namun, fokus terhadap acara keirin nyata membuahkan hasil apabila Shah Firdaus dan Azizulhasni mempamerkan kayuhan lebih agresif serta konsisten sejak peringkat awal saingan.

Shah Firdaus sekali lagi membuktikan statusnya sebagai antara pelumba utama negara dalam acara keirin selepas berjaya bersaing rapat dengan pelumba elit Jepun sepanjang perlumbaan.

Dalam masa sama, Azizulhasni yang terus menjadi sandaran negara turut memperlihatkan pengalaman luas dimilikinya apabila berjaya mengawal perlumbaan untuk memastikan satu lagi tempat di podium menjadi milik Malaysia.

Sumber Gambar: IG Malaysia Track Cycling