SEKOLAH Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang juga sebahagian daripada Akademi Zon Tengah, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kembali berada di landasan tepat untuk melangkah ke pusingan seterusnya selepas menewaskan AMD FUTURE 3-1 pada aksi kedua peringkat kumpulan kategori bawah 14 tahun, Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2023.
Selepas tewas 2-4 kepada wakil kelab Thailand, Buriram United pada perlawanan pembukaan, anak-anak buat jurulatih Nik Juhaisham Tarmizi meraih tiga mata pertama pada perlawanan yang diadakan di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Pahang.
Pengendali itu turut berkata SSBJ perlu menang pada perlawanan ketiga menentang pasukan Spartak Trnava dari Slovakia pada Khamis untuk mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir.

Ketua Jurulatih SSBJ, Nik Juhaisham Tarmizi
“Kemenangan pertama dalam kumpulan walaupun kalah dengan Buriram United semalam tetapi pemain bangkit membuktikannya dengan kemenangan 3-1 mengatasi AMD FUTURE.
“Kami memperbaiki corak permainan berbanding semalam dan untuk perlawanan seterusnya, kami akan berdepan Spartak Trnava dan kami akan cuba sehabis baik meraih kemenangan untuk layak ke separuh akhir,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, pengendali AMD FUTURE, Mustaffa Kamal Abdul Wahab mengakui pasukannya perlu berkerja keras pada aksi terakhir berdepan Buriram United untuk layak ke pusingan seterusnya.

Ketua Jurulatih AMD Future, Mustaffa Kamal Abdul Wahab
“Bagi saya perlawanan kedua hari ini lebih kepada pendedahan dan beri ruang kepada pemain muda dan dengan keputusan ini kami perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain untuk perlawanan terakhir.
“Memang kita akui keputusan ini menyukarkan sedikit laluan, tetapi saya yakin pemain akan bekerja keras esok untuk meraih kemenangan,” jelasnya.
Gol-gol SSBJ dijaringkan oleh Muhammad Hafiy Darwish Mohd Firdaus, Muhammad Aqhil Danial Sahrizan dan Ahmad Haziq Hakimi manakala gol tunggal AMD FUTURE dijaringkan Muhammad Ikram Yusri.

Bagi kategori bawah 12 tahun pula, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah membenam cabaran pasukan dari Filipina, Apuesto Bueno FC dengan kemenangan 12-0 pada aksi dalam Kumpulan B.
Lima gol JDT disumbangkan oleh Saap Baharom manakala dua gol menerusi Muhammad Farish Haqiemi Muhammad Azharuddin dan masing-masing satu daripada Aqheef Haiqal Koko, Muhammad Nurazrieman Syah Muhammad Faisal, Faiz’zin Naqib Mohd Faizal dan Wafi Hakim Mohd Rizal.

Lain-lain keputusan yang berlangsung hari ini adalah seperti berikut:
Bawah 14 Tahun
Piraya Football Academy 0-7 AMD Dream
Buriram United 1-0 Spartak Trnava
Shonan Bellmare 1-1 NK Osijek
Bawah 13 Tahun
Fagiano Okayama 1-5 AMD Dream
Evergrande Football School 1-3 KKS Lech Poznan
Hong Kong FA 3-0 AMD Future
Zhejiang Professional FC 2-0 Chonburi
Bawah 12
NFDP A 4-1 NFDP C
NFDP B 4-0 NFDP
Asiop Football Academy 1-1 Zhejiang Professional FC