SKUAD muaythai negara berhasrat menurunkan bintang ONE Championship, Rifdean Masdor dan Aliff Rakib untuk memburu emas di Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini.
Kedua-dua jaguh tanah air itu disenaraikan bersama lapan lelaki dan lapan wanita dalam skuad elit dengan sasaran realistik membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas.

Presiden PMM, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi menegaskan bahawa badan induk sukan itu sudah berusaha untuk memastikan bintang ONE Championship dapat bersaing di Sukan SEA nanti.
Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, pemilihan dibuat berdasarkan prestasi di Kejuaraan Dunia IFMA dan aksi cemerlang di pentas ONE Championship.
Bagaimanapun, penyertaan Aliff bergantung kepada pelepasan pengurusan ONE Championship kerana terikat kontrak, berbeza dengan Rifdean yang bebas beraksi.

Penyertaan Aliff ke Sykan SEA Thailand bergantung kepada pelepasan dari ONE Championship.
“Dia memang mahu beraksi di Sukan SEA tetapi segalanya bergantung kepada pengurusan ONE Championship, dan kami sudah menghantar e-mel serta berbincang secara peribadi bagi mendapatkan kebenaran,” katanya.
Jika Aliff tidak dilepaskan, Rifdean akan menjadi sandaran utama dibantu juara remaja Asia, Wassof Hu yang berpotensi mencipta kejutan di gelanggang Thailand.

Rifdean menjadi tonggak harapan emas negara di Temasya Thailand 2025.
Turut tersenarai ialah petarung meningkat naik, Muhammad Mikail Ghazali dan bintang BYON, Ammarul Shafiq yang akan beraksi dalam kategori B.
Shahnaz menjelaskan atlet kategori B diberi peluang sebagai persiapan awal menuju Sukan SEA Malaysia 2027, sekali gus menimba pengalaman berharga di temasya Thailand nanti.