KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memohon dana khas tambahan daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan kerjaya pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, dapat diteruskan di pentas Eropah.

Langkah itu diambil selepas permohonan geran daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) tidak dapat dipenuhi ekoran dana sedia ada yang terhad serta menerima permohonan tinggi daripada pelbagai pihak.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berikrar bantu kerjaya Hakim Daniah. | FOTO KBS

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, KBS sedar negara memiliki ramai bakat sukan yang memerlukan sokongan, namun dana yang ada tidak mencukupi terutama untuk sukan permotoran yang menuntut kos besar.

“Kita memang mempunyai banyak bakat yang perlu disokong tapi dana terhad, jadi untuk Hakim, KBS akan memohon kepada MOF bagi mendapatkan lebih banyak dana,” katanya, ketika ditemui pada majlis perasmian Grand Prix MotoGP Malaysia, semalam.

Hannah Yeoh menunjukkan komitmen kepada sukan permotoran.| FOTO KBS

Hannah menjelaskan dana KWASN tidak mencukupi kerana menerima terlalu banyak permohonan melebihi peruntukan, sekali gus memaksa kementerian mencari alternatif lain untuk membantu Hakim.

Hakim Danish melalui pengurusan ZK Racing memohon geran KWASN bagi menampung kos beraksi di Eropah termasuk mendapatkan jentera terbaik untuk bersaing dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP.

Bintang permotoran dalam pembikinan. | FOTO KBS

Hannah turut menegaskan sukan permotoran adalah disiplin berintensiti tinggi yang memerlukan pelaburan kewangan besar dan tidak boleh dipandang ringan.

“Kita berharap MOF akan membantu kerana sukan permotoran bukan sukan murah, pelaburannya besar dan kita doakan permohonan dana tambahan untuk Hakim ini berjaya,” katanya.