PENOLONG jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil, yakin pasukannya mampu bangkit dan menukar keputusan dalam perlawanan final kedua MFL Challenge Cup 2024-25 menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.
“Kami sedikit terganggu dengan keadaan beberapa pemain, namun ia tidak menjejaskan keseluruhan persiapan pasukan. Sehingga hari ini, kami masih memantau kecergasan pemain, termasuk Ifedayo Olusegun.
“Kami akan melihat situasi beliau sama ada layak untuk diturunkan dalam perlawanan esok,” katanya pada sidang media pra perlawanan akhir hari ini.
Mengulas mengenai perlawanan final pertama, Eddy mengakui bahawa PDRM FC berjaya menjaringkan gol dan mencipta peluang tetapi gagal mempertahankan transisi permainan Selangor FC yang bermain dengan 10 pemain selepas satu kad merah.
“Kami faham bahawa Selangor mempunyai skuad yang besar dan pemain berkualiti. Walaupun kami berjaya menjaringkan gol dan mencipta peluang, kami gagal dalam aspek penyudah yang lebih baik. Itu antara kelemahan yang kami cuba perbaiki sepanjang minggu ini, dan diharapkan strategi yang dirancang akan menjadi dalam perlawanan esok,” jelasnya.
Eddy juga mengakui bahawa barisan pertahanan Sang Saka Biru perlu lebih berdisiplin setelah memberikan terlalu banyak ruang kepada Selangor dalam perlawanan terdahulu. Beliau menekankan bahawa pasukan telah bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan tersebut.
“Dari segi serangan, saya yakin dengan kemampuan penyerang kami. Kami hanya perlu memastikan kami lebih klinikal dalam penyudah dan tidak mensia-siakan peluang yang dicipta,” tambahnya.
Bercakap mengenai kelebihan dan kelemahan pasukan lawan, Eddy menyedari bahawa Selangor FC kehilangan kapten mereka untuk perlawanan ini. Namun, beliau percaya bahawa pasukannya harus fokus kepada kekuatan sendiri.
Ketika ditanya mengenai tekanan sebagai juara bertahan, Eddy mengakui bahawa ia adalah satu cabaran besar.
“Sudah tentu ada tekanan. Sebagai juara bertahan, kami mahu mempertahankan kejuaraan. Dengan kedudukan semasa Selangor mendahului dengan agregat 2-1, kami perlu mencari sekurang-kurangnya satu gol untuk mengimbangi perlawanan. Namun, saya percaya pemain-pemain kami cukup matang untuk menangani situasi ini,” ujarnya.
Eddy juga menjelaskan bahawa pasukan telah membuat sedikit perubahan taktikal bagi menghadapi perlawanan ini.
“Kami telah merancang strategi tertentu dan bersedia untuk sebarang kemungkinan, termasuk jika perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan atau sepakan penalti. Bola sepak penuh dengan kejutan, dan kami akan pastikan pasukan bersedia untuk semua senario,” katanya.
Perlawanan final kedua Piala Cabaran antara PDRM FC dan Selangor FC dijangka berlangsung dengan sengit, dengan kedua-dua pasukan berusaha untuk merebut gelaran juara musim ini.