WAKIL Indonesia, PSM Makassar berjaya meraih kemenangan menewaskan kelab Singapura, Tampines Rovers 3-1 pada aksi kedua Kumpulan H di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras.
Gol dari Rizky Pratama dan dua gol dari Everton Nascimento pada babak kedua sudah cukup untuk memberikan anak-anak buah Bernardo Tavares tiga mata sekaligus mendahului kumpulan.
Tampines Rovers kelihatan tempang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain sepanjang 60 minit permainan apabila Chris Van Huizen dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning akibat melakukan terjahan berbahaya.
The Stags mendahului pada minit ke-29 menerusi jaringan cantik Zehrudin Mehmedovic dari luar kotak penalti tetapi dihukum bermain dengan 10 pemain seminit selepas itu.
Kelebihan seorang pemain digunakan sepenuhnya Tavares dengan melakukan beberapa pertukaran bagi menajamkan lagi serangan pasukan PSM Makassar dan berhasil pada awal babak kedua.
Rizky Pratama mudah menolak masuk menewaskan Syazwan Buhari untuk gol penyamaan PSM pada minit ke-48 dan gol itu nyata menaikkan semangat para pemain Juku Eja.
Hasilnya, PSM Makassar berjaya meletakkan diri dihadapan pada minit ke-79 apabila pemain gantian, Everton Nascimento berjaya menjaringkan gol kedua hasil gerakan berpasukan yang cantik.
Ketika perlawanan hampir tamat, Everton sekali lagi menghukum kealpaan benteng Tampines Rovers apabila berjaya meloloskan diri dari perangkap ofsaid sebelum dijatuhkan penjaga gol.
PSM dihadiahkan penalti dan Everton dengan mudah menyempurnakannya untuk gol ketiga sekaligus memberikan kemenangan 3-1 dan kini mengumpul empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri.
Keputusan ini juga dilihat menyukarkan laluan Kuala Lumpur yang kini terpaksa menewaskan Tampines Rovers dengan kelebihan tiga gol untuk layak secara automatik ke peringkat seterusnya.