NAMA Datuk K. Rajagobal tidak pernah pudar dalam ingatan peminat bola sepak tanah air dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengingatkan bahawa warisan sentuhan ‘King Raja’ itu masih relevan hari ini.

Dalam satu pertemuan yang dikongsikan di media sosial, Hannah menzahirkan rasa terinspirasi selepas berbual bersama bekas pengendali Harimau Malaya itu, yang pernah membawa Malaysia menjuarai Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki 2010 merupakan detik yang kekal sebagai memori emas dalam sejarah bola sepak negara.

Menurut Hannah, pertemuan tersebut turut menjadi ruang untuk Rajagobal berkongsi mengenai autobiografinya bertajuk “Inilah Saya – K. Rajagobal”, sebuah naskhah yang merakam perjalanan hidup, falsafah kepimpinan serta pendekatan beliau membina mentaliti juara dalam kalangan pemain muda.

Kisah-kisah disiplin, keyakinan dan keberanian pemain yang dibentuk beliau bukan sekadar nostalgia, tetapi menjadi panduan bernilai kepada generasi baharu.

“Kisah seperti ini bukan sekadar nostalgia tetapi panduan berharga untuk generasi baharu khususnya belia yang sedang mengejar impian mereka,” ujar Hannah di media sosialnya.

Hannah menegaskan bahawa anak muda dan penyokong bola tempatan perlu mengambil inspirasi daripada perjalanan Rajagobal, terutama dalam konteks usaha membina semula kekuatan bola sepak negara. Baginya, buku tersebut hadir bukan untuk mengimbau masa lalu semata-mata, tetapi mencetus kefahaman bagaimana mentaliti, budaya kerja dan percaya kepada proses mampu membentuk pasukan yang berjaya.

Beliau turut menggalakkan penyokong bola sepak Malaysia untuk mendapatkan buku tersebut sama ada di kedai buku berhampiran ataupun melalui pembelian dalam talian menerusi Karangkraf.

Warisan Rajagobal bukan sekadar kejayaan di atas padang ia adalah cerita bagaimana keyakinan, keberanian dan kesatuan mampu meniup api perjuangan Harimau Malaya. Dan hari ini, mesej itu diangkat semula, agar ia terus menjadi nyala semangat buat generasi seterusnya.