FOTO : AFC
TERENGGANU berjaya membuktikan kemenangan ke atas Central Coast Mariners ketika aksi pembukaan Kumpulan G, Piala AFC di Kuala Terengganu September lalu bukanlah nasib sebaliknya mereka berjaya mengikat lawan yang sama 1-1 di Gosford, Australia.
Gol menerusi tandukan cantik Engku Nur Shakir pada minit ke-53 dilihat sudah cukup untuk memberikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner tiga mata sebelum jaringan penyamaan Miguel Di Pizio tiga minit sebelum tamat memadam kelebihan itu.
Di atas kertas, skuad Penyu dilihat sangat tempang dengan hanya mendaftarkan 15 pemain dan mempunyai empat pemain sahaja di bangku simpanan namun ianya tidak mematahkan semangat para pemain yang berjaya mengimbangi kekuatan pasukan tuan rumah.
PIALA AFC 2023/24
Perlawanan Kelima, Kumpulan G
FT: Central Coast Mariners FC 1-1 Terengganu FC
⚽️ Miguel Di Pizio 87'
⚽️ Engku Shakir 53'#AFCCUP#PetehGanuPeteh pic.twitter.com/QzrYOVg7dY— Flash Sukan (@FlashSukan) November 29, 2023
Habib Haroon dan Sony Norde masing-masing mempunyai peluang untuk meletakkan Terengganu di hadapan namun dihalang penjaga gol Central Coast selain aksi cemerlang Suhaimi Hussin di gawang Terengganu memastikan kedudukan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Keyakinan dapat dilihat pada wajah pemain Terengganu apabila berjaya mengikat lawan tanpa jaringan dan mereka mula melancarkan serangan untuk mencari gol pembukaan dengan persembahan yang cukup teratur dan berdisiplin.
Berpunca dari sepakan sudut Sony Norde, Engku Shakir bijak menanduk ke belakang dan bola itu melambung melepasi jangkauan penjaga gol Central Coast untuk memberikan gol pembukaan buat Terengganu FC yang mengejutkan penyokong tuan rumah.
Tomislav melakukan perubahan dengan pemain yang ada bagi memastikan kaki yang lebih cergas berada di atas padang menjelang 15 minit terakhir permainan bagi memastikan jaringan tunggal itu kekal menjadi milik Terengganu.
Kelebihan pemain simpanan digunakan sepenuhnya Central Coast dengan membuat lima pertukaran yang akhirnya membuahkan hasil dengan gol penyamaan menerusi pemain gantian sekaligus menghampakan hajat Terengganu untuk mengutip tiga mata.
Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Central Coast kekal di tangga teratas Kumpulan G dengan 10 mata manakala Terengganu di tangga kedua dengan sembilan mata.
Perlawanan terakhir kumpulan pada 13 Disember antara Terengganu dan Bali United serta Stallion Laguna dan Central Coast bakal menjadi penentuan pasukan mana yang layak ke peringkat seterusnya sebagai juara kumpulan.