PENGENDALI Laos, Michael Weiss mengakui walaupun skuad kebangsaan Harimau Malaya beraksi tanpa 12 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), namun mereka tetap memberi persembahan yang baik.
Michael turut memuji keupayaan dan kualiti pemain Malaysia yang kini hampir menyamai kredibiliti pasukan terkuat Asia Tenggara , Vietnam.
“Biarpun tanpa 12 pemain JDT, saya lihat Malaysia tetap memberi saingan yang baik kepada pasukan lawan.
“Malaysia semakin membangun dan kini hampir dapat bertanding dengan baik bersama Vietnam. Malaysia juga memiliki kualiti yang baik,” jelasnya dalam sidang media pra-perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric pada Jumaat.

Dalam pada itu, Michael memberi gambaran akan bertahan secara kompak di bahagian pertahanan dan sesekali melakukan serangan balas dalam usaha mendapatkan gol awal.
“Sebagai pasukan underdog, kita akan cuba untuk mengukuhkan dan padat di bahagian pertahanan dan menghalang beberapa cubaan berbahaya dari pemain Malaysia.
“Kita harus cuba dapatkan gol awal untuk menyuntik semangat pemain. Kita baru pulang dari perlawanan semalam. Kita masih berdepan dengan beberapa kecederaan. Kita mengharapkan aksi yang baik pada perlawanan esok,” katanya.
Menyedari pelaburan yang banyak telah dilakukan skuad Laos, Michael berharap tetap berharap motivasi pemain berada dalam tahap terbaik untuk cuba meraih kemenangan bertemu Harimau Malaya.
“Kita akan tengok esok. Kita sudah membuat pelaburan yang banyak. Sudah tentu, kita mahukan kemenangan. Kita akan harapkan motivasi pemain sangat baik esok,” jelasnya.