ARKITEK tengah kebangsaan, Brendan Gan Seng Ling memberi kredit kepada pasukan teknikal skuad kebangsaan yang turut dikendalikan DNA dari Korea Selatan dalam membantu aspek teknikal dalam pertemuan menentang Laos esok.

Tambah Brendan, paling utama bagi Harimau Malaya adalah memecahbelahkan tembok pertahanan lawan dan menjaringkan seberapa banyak gol yang mampu dihasilkan.

“Pasukan teknikal memberi kami banyak informasi untuk bermain dengan Laos. Mereka lebih bermain dengan struktur yang teratur. Jadi, tugas kita adalah untuk memecahkan tembok pertahanan Laos dan merobek seberapa banyak gol yang boleh,” jelasnya.

Biarpun skuad kebangsaan menerima kritikan dari segi persembahan dalam aksi sulung bertemu Myanmar kelmarin, dia tetap yakin dengan kemampuan skuad kebangsaan dalam menentang Laos esok.

“Saya adalah orang yang positif. Saya rasakan pemain dapat menangani keadaan yang sukar meskipun pasukan kami tidak bermain dengan begitu baik dalam perlawanan lepas.

“Kita mempunyai skuad yang bagus. Bukan bermain hanya dengan 23 pemain yang hadir, saya benci apabila pemain dikritik media. Sesiapa yang dipanggil ketua jurulatih adalah merupakan pemain terbaik Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Brendan sempat menyeru penyokong sama-sama hadir memberi sokongan kepada skuad kebangsaan dalam usaha mencari kemenangan kedua bertemu Laos esok.

“Pemain ke-12 sangat penting bagi kami. Rata-rata penyokong saya harap mereka akan bersorak sehingga perlawanan tamat sebagai suntikan semangat kepada kami,” ujarnya.