KEKALAHAN tipis 1-2 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Remaja Asia 2024 menjadi pengajaran bermakna buat skuad hoki remaja Malaysia.

Jurulatih pasukan, Iswaraphatam Vikneswaran, menegaskan bahawa pasukan perlu memperbaiki kemahiran asas serta menajamkan penyudah untuk tampil lebih bersedia menjelang Piala Dunia Hoki Remaja.

Menurut Vikneswaran, kelekaan pada suku pertama menyebabkan Malaysia ketinggalan dua gol awal kepada Jepun.

Walaupun pasukan negara kemudian bangkit dengan beberapa percubaan ke arah gol dan pukulan sudut penalti, kecemerlangan penjaga gol Jepun, Origasa Koki, yang juga dinobatkan sebagai Man of the Match, menggagalkan usaha mereka.

“Kita sedikit lalai di suku pertama, tetapi selepas itu, kita cuba mengejar dengan beberapa percubaan dan pukulan penalti.

“Sayangnya, penjaga gol Jepun bermain sangat cemerlang, menyelamatkan peluang-peluang yang sepatutnya menjadi gol,” kata Vikneswaran.

 

Beliau turut menekankan pentingnya memperkukuhkan kemahiran asas seperti hantaran, pukulan, dan tackle, yang dianggap asas kepada permainan hoki di peringkat tinggi.

Selain itu, kemahiran penyudah juga menjadi tumpuan, khususnya untuk mengelakkan emosi ketika berdepan peluang di depan gawang.

“Ketika di depan gol, pemain tidak perlu memukul bola dengan sekuat hati.

“Apa yang penting adalah bijak membuka ruang dan mengambil peluang secara mudah tetapi berkesan,” tambahnya.

Vikneswaran juga menegaskan bahawa serangan dan pertahanan pukulan sudut penalti adalah aspek yang perlu diperbaiki segera, memandangkan banyak gol yang dibolosi dalam kejohanan ini berpunca daripada situasi tersebut.

“Jika kita boleh mengurangkan separuh daripada gol yang dibolosi melalui pukulan sudut penalti, kita pasti mampu menang lebih banyak perlawanan, terutama yang melibatkan situasi 50-50,” jelasnya.

Meskipun terlepas peluang menaiki podium, skuad negara melihat kejohanan ini sebagai platform untuk mengenal pasti kelemahan dan mempersiapkan pasukan menjelang Piala Dunia Remaja di India tahun hadapan.

Dengan lebih fokus kepada latihan asas dan taktikal, Vikneswaran optimis Malaysia mampu tampil lebih mantap di pentas dunia kelak.